KUALA LUMPUR – Ekonomi negara berada di persimpangan dengan jurang di antara golongan kaya dan miskin semakin meluas.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Shaik Abdul Rasheed Ghaffour berkata, dasar ekonomi dan kewangan hari ini bakal menentukan hala tuju dan trajektori pembangunan negara pada masa hadapan.
Menurutnya, rencana dasar Ekonomi Madani memerlukan tekad dan laksana untuk membebaskan Malaysia daripada terjerat sebagai sebuah negara berpendapatan sederhana, dan menuju ke arah negara berpendapatan tinggi.
“Namun begitu, wawasan Ekonomi Madani menuntut lebih daripada itu. Jurang di antara golongan yang kaya dan miskin semakin meluas.
“Ia perlu ditangani dan diimbangi dengan pembangunan sebuah masyarakat yang inklusif, adil, saksama, dan mengekalkan integriti sosial,” katanya berucap pada Majlis Jalinan Kerjasama iTEKAD di BNM di sini, hari ini. Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Abdul Rasheed berkata, sektor kewangan berperanan penting sebagai memangkin pertumbuhan sesebuah ekonomi dan perlu menjadi pengantara antara mereka yang berpendapatan lebih dengan mereka yang memerlukan dana, menyediakan modal dan kredit kepada ekonomi.
Katanya, selain itu, ia memudahkan pelbagai jenis transaksi kewangan dan memungkinkan pengurusan risiko melalui pelbagai instrumen dan juga produk.
Mengulas lanjut, katanya, BNM berhasrat untuk membangunkan sektor kewangan yang progresif, teguh, telus dan bertanggungjawab serta mampu menyumbang kepada kemajuan yang lebih adil, setara, bermakna dan inklusif buat rakyat negara ini.
“Pelan Sektor Kewangan 2022-2026 merupakan rencana BNM ke arah matlamat ini di mana pelan berkenaan lahir dengan tiga objektif utama iaitu kewangan untuk semua, kewangan untuk transformasi dan kewangan untuk kelestarian,” uajrnya. – KOSMO! ONLINE