fbpx

Mahkamah: Ugutan jenayah, majistret nasihat jangan main-main buat laporan polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ganesan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap isterinya baru-baru ini.

IPOH – Majistret hari ini menasihatkan seorang wanita supaya tidak ‘main-main’ membuat laporan polis hanya untuk memastikan suaminya berubah dan tidak lagi melakukan kesalahan sama.

Majistret Jesseca Daimis memberikan nasihat itu setelah mendengar rayuan S. Premlata, 36, dalam kes membabitkan ugutan jenayah oleh suaminya, G. Ganesan, 38.

“Saya ingatkan kamu, laporan polis bukan sesuatu yang main-main, bukan suka hati buat laporan untuk ugut dan tengok dia (suami) dengar cakap atau tidak.

“(Pasukan) polis bukan tempat untuk kamu suka-suka hati (hanya) untuk tengok dia (tertuduh) menyesal . Jenayah tetap jenayah dan ugutan juga adalah jenayah,” nasihat Jesseca pada prosiding di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Terdahulu, Ganesan yang juga bapa kepada dua anak itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa dalam bahasa Melayu di hadapan Jesseca.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang tidak bekerja itu didakwa telah melakukan ugutan jenayah kepada Premlata dengan niat untuk menyebabkan ketakutan di sebuah rumah di Taman Idaman Chemor, Chemor dalam daerah Kinta pada pukul 7.30 petang, 7 Ogos 2023.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Nabilah Norzam manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nor Izawani Ahmad Jalaludin.

Terdahulu, tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh namun Nor Izawani memohon jumlah jaminan minimum atas alasan tidak bekerja akibat kemalangan selain perlu menanggung dua anak berusia empat dan tujuh tahun.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dalam kalangan ahli keluarga dan menetapkan 19 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI