fbpx

Nahas Elmina: Idris layak dapat faedah perkhidmatan, JAIP bantu keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JASVIR SINGH (tiga kanan) menyampaikan sumbangan kepada isteri Allahyarham Idris di Kampung Ketari di Bentong.

BENTONG – Allahyarham Idris Abdol Talib @ Ramali yang terkorban dalam nahas pesawat ringan di Shah Alam layak mendapat pelbagai faedah perkhidmatan meskipun mengambil cuti dalam tempoh masa yang panjang.

Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Zulkifle Ali berkata, pihaknya akan membantu keluarga mangsa bagi mendapatkan pelbagai faedah perkhidmatan yang layak diterima termasuk pencen.

“Allahyarham yang berkhidmat dengan JAIP sebagai Ketua Unit Penguatkuasa Daerah Raub mula mengambil cuti tanpa gaji bermula Disember tahun lalu hingga 23 Disember ini.

“Dia bercuti dan masih berkhidmat (dengan JAIP) jadi pelbagai faedah dan kemudahan dia layak dapat dan JAIP akan uruskannya,”katanya di sini hari ini.

Allahyarham Idris adalah salah seorang daripada 10 mangsa yang terkorban dalam nahas pesawat ringan jenis Beechcraft 390 di Elmina Central Park Shah Alam pada Khamis lalu.

Menurut Zulkifli jawatan terakhir Idris adalah Ketua Unit Penguatkuasa JAIP Daerah Raub dengan tangga jawatan S32.

“Sepanjang berkhidmat dia bertugas dengan baik dan keperibadian yang baik, dia tidak banyak cakap dan mempunyai perwatakan yang lembut tetapi cukup tegas,”katanya.

Dalam pada itu, keluarga Allahyarham Idris terus menerima kunjugan daripada orang ramai yang datang berziarah dan memberi sokongan di rumah keluarganya di Kampung Ketari, Bentong.

Hari ini keluarga Idris menerima kunjungan daripada Pegawai Khas Menteri Besar, Datuk Jasvir Singh Ram Singh yang juga Ahli Majlis Perbandaran Bentong serta kunjungan daripada kenalan dan orang ramai.

Isteri Allahyarham Adlina Aishah Ahmad Rusli,41, berkata, sejak kejadian menimpa suaminya orang ramai tidak putus-putus menziarahi dan memberikan sokongan serta semangat kepadanya.

“Saya berterima kasih kepada semua yang telah memberikan sokongan yang membuatkan saya terus kuat dalam berhadapan dengan dugaan ini,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI