PETALING JAYA – Seperti mendapat kekuatan selepas diceraikan, Fauziah Sarman yang juga ibu kepada penyanyi Shila Amzah mendedahkan perlu bersuara mengenai perceraian dengan Datuk ND Lala bagi memberi pengajaran kepada wanita lain.
Katanya, dia tidak menyangka dikhianati teman hidup yang dinikahi selama 34 tahun disebabkan tarikan wanita muda sebaya merangkap sahabat karib anak sulung mereka sejak tingkatan satu.
“Tiada lagi air mata, tiada lagi rasa menyalahkan diri sendiri. Sebagai wanita yang pernah menjadi isteri, ibu ingin saya kongsikan supaya dapat menjadi pengajaran buat semua.
“Tidak mudah bagi saya bila dapat tahu perempuan seusia anak sulung saya, malah lebih tepat BFF (kawan baik) dari tingkatan satu hingga lima di sekolah sama dikatakan sudah berkahwin sampai ke pengetahuan saya.
“Saya pernah berada di fasa penafian kerana perempuan ini saya anggap seperti anak sendiri, makan minum dan tidur di rumah keluarga kami. Acara kecil atau besar dia pasti ada.
“Saya masih ingat, pada 2019 Shila beritahu ada orang sampaikan pada dia yang abahnya sudah bernikah dengan perempuan ini, tapi saya dalam hati masih menafikan,” kongsinya panjang lebar dalam pengakuan terbuka dalam Instagram.
Ibu kepada empat cahaya mata itu berkata, dia diberikan kekuatan luar untuk bercerita dengan memaklumkan bertemu individu tersebut bagi mendapatkan penjelasan berhubung khabar angin didengar.
Namun katanya, wanita yang ketika itu bekerja dengan ND Lala terus menangkis cakap-cakap orang, sedangkan hakikatnya mereka sudah pun bergelar suami isteri.
“Beberapa hari selepas dapat tahu, saya bertemu sendiri perempuan ini yang bekerja dengan abah anak-anak saya untuk bertanya sendiri.
“Jawapannya dia tidak akan melakukan perkara itu (rampas) kerana dia menganggap kami suami isteri sebagai ‘orang tuanya’. Hakikatnya ketika itu mereka telah berkahwin,” kongsinya lagi.
Pada masa sama, Fauziah yang selesa disapa Mama Zie menerima maklumat dari ahli keluarga perempuan itu yang mendakwa dia menghilangkan diri sejak 2016, dan sepanjang tempoh itu ikatan perkahwinannya dengan ND Lala goyah.
Mengimbas kembali detik kegoyahan rumahtangganya yang pernah melalui kehidupan susah, penyanyi dan pelakon terbabit dikatakan mula pulang lewat dan pernah berminggu-minggu tidak balik dengan memberikan pelbagai alasan.
Kebenaran terlerai
Cerita Fauziah lagi, ketika banjir besar pada Disember 2021 berlaku di kawasan kediaman mereka tiada langsung pertolongan dari ketua keluarga mahu pun bertanya khabar.
“Abah anak-anak saya menghilangkan diri selama hampir setahun sejak 28 Januari 2022, ‘call’, mesej tak jawab tapi tiba-tiba muncul di semi final dan finale Gegar Vaganza tahun berkenaan.
“Saya sangkakan keadaan akan jadi normal tetapi berkat doa, kebenaran yang selama ini cuba disembunyikan akhirnya terkeluar satu demi satu.
“Yang paling mengejutkan bukan setahun dua, rupa-rupanya bertahun-tahun penipuan,” katanya yang turut memperincirikan butiran peristiwa terdedahnya ‘permainan’ dua individu terbabit.
Akui wanita berusia 55 tahun itu, semuanya bermula apabila anak lelakinya mengambil kereta yang tertinggal di Kedah disebabkan ayah mereka sakit.
“Orang Kedah terpaksa cari anak saya untuk ambik kereta kerana abahnya tidak dapat dihubungi yang membuatkan saya sangka kereta itu milik abahnya, tetapi dari sinilah kami sangat yakin cerita perkahwinan mereka ini benar.
“Bagaimana rasanya jiwa seorang isteri apabila menemui beg pakaian yang bercampur antara baju suami dan perempuan lain? Kereta bagai rumah, pakaian dobi dan barang lain penuh satu kereta,” katanya.
Tidak berakhir di situ, anaknya dituduh mencuri kereta tersebut hingga membabitkan polis, selain dipaksa mengakui kesilapan yang kemudian dirakamkan ND Lala sendiri
“Paling melumatkan jiwa, anak saya dituduh melarikan kereta atas nama perempuan ini dan kereta ini ada di rumah saya dari Disember dan ketika itu abah anak-anak saya tinggal dengan kami.
“Abah anak saya balik 23 Januari hingga 1April lalu dan kereta yang anak saya ambil sentiasa di rumah dan tiba-tiba anak saya dapat panggilan polis pada bulan Februari mengatakan perempuan itu buat laporan polis kata anak saya curi.
“Perempuan ini mengarahkan abah anak-anak saya supaya anak saya sendiri pulangkan kereta itu kepadanya dan paling menyedihkan ketika menyerahkan kembali kereta ini anak saya ‘dipaksa’ mengaku kesilapan.
“Dia kena mintak maaf secara bertulis dan perlu menandatangani surat di depan bapa kandungnya sendiri!. Abah anak saya turut menyuruh anak saya ikut apa saja perempuan ini suruh sambil dia disuruh rakam tanpa rasa bersalah,” kongsi Fauziah.
Terima kasih
Dalam hantaran sama, dia menzahirkan terima kasih atas sokongan, perhatian dan kasih sayang terhadap mereka sekeluarga.
Akuinya, biarpun tidak pernah terfikir perkahwinan yang dibina atas dasar cinta berakhir dalam situasi seperti itu, dia sudah berusaha sehabis baik menjadi isteri dan ibu terbaik.
“Sebagai seorang wanita yang dinikahi sejak 19 Oktober 1989 ketika usia saya 21 tahun, saya cuba menjadi isteri terbaik buat suami dan ibu buat empat orang anak saya.
“Tidak pernah langsung saya terfikir noktah ikatan perkahwinan saya menjadi begini kisahnya, apatah lagi penamat ikatan perkahwinan ini dilakukan dengan cara yang tidak kena untuk usia perkahwinan kami yang bukanlah muda malah kami sudah punya dua orang cucu.
“Saya terima takdir yang tertulis apabila 34 tahun usia perkahwinan kami dinoktahkan secara kiriman WhatsApp suara pada 8 Ogos lalu dan lafaz dibuat pada 2 Ogos 2023 sebelum anak sulung kami dinikahkan sendiri abahnya pada 5 Ogos lepas,” katanya.
Ulas Fauziah, coretan itu dikongsikan supaya wanita di luar sana lebih waspada dengan sesiapa yang mungkin dianggap kakak, adik, anak atau sahabat supaya jangan beri ruang yang terlalu luas hingga mata dikaburi.
“Menjadi baik dan bersangka positif itu jelaslah perlu dalam limit yang sangat kita jaga kerana tak semua manusia akan memikirkan jiwa manusia lain.
“Malah mereka tidak akan kisah mengisar halus emosi kita untuk meraih kemenangan dalam drama sebabak ini,” kongsinya yang sebelum ini menyimpan kemas kisah rumahtangga dengan ND Lala atau nama sebenarnya Amir Amzah Salleh, 62.
Terdahulu, rumah tangga pasangan tersebut dikatakan berantakan, namun Shila menafikan spekulasi dan menjelaskan rumah tangga ibu bapanya sedang melalui fasa sukar.
Pasangan terbabit berkahwin pada tahun 1989 dan perkongsian hidup, mereka itu diserikan empat cahaya mata, Nurshahila, 33, Amir Syafiq, 30, Amir Syahir, 28, dan Nur Syuhada, 25. – KOSMO! ONLINE