fbpx

Jonas mahu wakili negara di Sukan SEA 2025 Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JONAS (tengah) berada di atas podium selepas melakar kemenangan NX113 Cabaran Renang Perairan Terbuka Melaka -FOTO Ihsan penganjur NX113

KUALA LUMPUR  – Keputusan perenang muda, Jonas Lau untuk beralih daripada disiplin kolam ke perairan terbuka tahun lalu dianggap pilihan tepat selepas dia berjaya melakar kemenangan NX113 Cabaran Renang Perairan Terbuka Melaka yang telah berlangsung di Encore Melaka, semalam.

Anak kelahiran Sarawak yang baru berusia 15 tahun itu muncul juara keseluruhan perlumbaan 5 kilometer dengan catatan masa satu jam, lapan minit sembilan saat (1:08:09) sekali gus mengatasi pencabar dari Sepanyol, Jose Louis Larrosa dengan catatan 1:14:54s.

Kemenangan tersebut memastikan Jonas berada pada landasan terbaik untuk mengejar cita-citanya mewakili negara pada temasya Sukan SEA 2025 di Thailand.

“Saya tidak begitu menyerlah dalam acara kolam. Tubuh badan saya agak kecil dan rendah jika dibandingkan dengan pesaing-pesaing yang sebaya dengan saya, jadi agak sukar untuk saya menyaingi mereka di kolam. Sebab itulah saya mencuba nasib di perairan terbuka, yang lebih memberi penekanan kepada kekuatan mental dan daya ketahanan.

“Setakat ini agak bagus. Tahun lepas saya pun ada memenangi beberapa kejohanan dan baru pada bulan lalu saya berjaya meraih tempat ketiga bagi kategori usia 16-17 dan kelima keseluruhan di Oceanman Bali.

“Kesemua pencapaian pada peringkat permulaan banyak menyuntik semangat saya untuk buat lebih baik lagi. Impian saya adalah mengikut jejak langkah rakan senegeri saya Heidi Gan (dua kali Olimpian di London 2012 dan Rio 2016) beraksi di temasya Olimpik.

ANTARA kerancakkan aksi para peserta memulakan saingan NX113 Cabaran Renang Perairan Terbuka Melaka
pada Ahad lalu.

“Namun, terlebih dahulu, saya berharap dapat dipilih mewakili negara pada Sukan SEA 2025 kerana acara renang perairan terbuka akan dipertandingkan semula (tiada dalam program edisi Vietnam 2021 dan Kemboja 2023),” kata Jonas.

Sementara itu, turut berlangsung pada hari yang sama ialah NX113 Triathlon Melaka yang menyaksikan Ng Han Yang dan Dhanealakshmi Selvadurai dinobatkan selaku juara remaja  lelaki dan wanita kebangsaan.

Han Yang, 13, cemerlang menawan kedudukan teratas dengan rekod masa 34:41.07 diikuti naib juara Thye Ju Quan (36:03.0) dan Lai Xuan Er di tempat ketiga (36:13.3). Dhanealakshmi pula gah menguasai saingan wanita dengan mencatatkan 40:46.7, meninggalkan Siti Aisyah Mohd Azizi (40:55.1) dan Loo Ay Ron (42:18.1) di tempat kedua dan ketiga. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN