SAO PAULO – Penyerang Liverpool, Roberto Firmino muncul wira Brazil apabila meledak gol kemenangan 1-0 ke atas Venezuela pada aksi kelayakan Piala Dunia 2022 zon Amerika Selatan di Stadium Morumbi pagi semalam.
Gol tunggal pada minit ke-67 membolehkan skuad Selecao berjaya mengekalkan kemenangan bersih 100 peratus daripada tiga perlawanan dalam aksi kelayakan setakat ini.
“Saya sudah memenangi Liga Juara-Juara, Piala Kelab Dunia dan Liga Perdana Inggeris (bersama Liverpool), jadi sekarang saya mahu membantu Brazil menjuarai Piala Dunia, sekali gus melengkapkan karier gemilang saya,” kata Firmino.
Bagaimanapun, bekas juara dunia lima kali itu dilihat bergelut untuk merobek gawang Venezuela apabila sekadar melakukan tiga percubaan tepat daripada keseluruhan 11 meskipun mendominasi 74 peratus penguasaan perlawanan tersebut.
Lebih malang apabila dua gol Brazil daripada Richarlison pada minit ketujuh dan Douglas Luiz lima minit sebelum tamat babak pertama dibatalkan pengadil perlawanan.
“Kami bertahan dengan baik tetapi terpaksa membayar harga mahal disebabkan satu kesilapan sahaja yang membolehkan Brazil menjaringkan gol tunggal perlawanan,” kata pemain tengah Venezuela, Luis Mago.
Brazil yang kini menerajui carta kelayakan zon Amerika Selatan, bakal berdepan tugas sukar apabila dijadualkan menentang Uruguay untuk perlawanan keempat di Estadio Centernario, Montevideo pada Rabu ini.
Sebagai rekod, empat pasukan teratas daripada 10 negara dalam zon kelayakan Amerika Selatan akan meraih slot automatik layak ke Piala Dunia 2022 di Qatar yang dijadualkan berlangsung dari 21 November hingga 18 Disember.
– AGENSI