LINZ, Austria – Bintang Perancis, Oceane Dodin terpaksa menarik diri dalam kejohanan Terbuka Linz selepas mengalami kecederaan buku lali ketika bersaing dengan pilihan utama, Aryna Sabalenka untuk merebut tempat ke separuh akhir awal pagi semalam.
Pada perlawanan tersebut, pemain berusia 24 tahun itu dilihat tampil cemerlang sepanjang kejohanan, namun gagal meneruskan momentum terbaiknya itu di pentas suku akhir.
Dodin yang meletakkan impian tinggi untuk melangkah ke pentas separuh akhir bagaimanapun membuat keputusan menarik diri dengan keputusan 3-6, 3-3 selepas tidak mampu untuk bangun meneruskan perlawanan.
“Saya melakukan persiapan yang rapi sebelum ke saingan ini. Tetapi saya gagal untuk meneruskan perlawanan ini kerana mengalami kecederaan pada set kedua. Sudah pasti saya sangat kecewa kerana gagal meneruskan perlawanan ini,” kata Dodin.
Sabalenka turut terkejut dengan insiden kecederaan yang menimpa Dodin sebelum menghentikan perlawanan dan berlari memberikan bantuan.
“Saya tidak mahu perlawanan ini berakhir seperti ini, tetapi saya tetap gembira meraih kemenangan pada set pertama. Dodin bermain dengan baik terutama pada set kedua tetapi sayang dia mengalami kecederaan yang serius di kaki.
“Saya harap dia cepat sembuh dan kembali bangkit meneruskan aksi di gelanggang semula,” kata Sabalenka. – AGENSI