LONDON – Pengurus Chelsea, Mauricio Pochettino enggan terlalu awal melatah selepas pasukannya tewas 1-3 kepada West Ham United pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium London malam kelmarin.
Selepas dua perlawanan, The Blues masih belum mencatat sebarang kemenangan dan hanya mengutip satu mata apabila sekadar mencatat keputusan seri 1-1 menentang Liverpool minggu lalu.
Bagaimanapun, beliau percaya keputusan kelmarin tidak melambangkan kemampuan sebenar yang dimiliki pasukan itu selain percaya mereka akan bangkit lebih baik pada perlawanan akan datang.
“Saya tidak fikir keputusan hari ini (kelmarin) menggambarkan prestasi sebenar pasukan. Dalam bola sepak, perkara seperti ini adalah satu kebiasaan dan sering berlaku kepada pasukan-pasukan lain juga.
“Secara jujur, memang saya kecewa, terutamanya ketika melepaskan gol pertama. Kita semua tahu West Ham sangat bagus ketika situasi bola mati, namun ia sangat mengecewakan,” katanya.
Pada perlawanan itu, West Ham United menjaringkan gol menerusi Nayef Aguerd, Michail Antonio dan Lucas Paqueta manakala gol Chelsea dijaringkan Carney Chukwuemeka.
Dalam pada itu, Chelsea turut mensia-siakan peluang untuk mendahului perlawanan di separuh masa pertama apabila pemain tengah, Enzo Fernandez gagal menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-43.
“Kami sepatutnya sudah menang di separuh masa pertama. Sekiranya penalti itu dapat dijaringkan, ia akan jadi satu cerita berbeza, namun sekarang kami perlu terima kekalahan ini dan terus bekerja keras,” ujar Pochettino. – AGENSI