NEW DELHI, India – Polis negeri Madhya Pradesh dikecam selepas video tular memaparkan beberapa anggotanya mengheret seorang wanita dengan cara menarik rambutnya, lapor laman berita NDTV.
Chaina Bai Kachi juga didakwa dibelasah dan ditahan selepas dia menuntut pampasan bagi kerja pemasangan menara elektrik di tanah miliknya di daerah Katni.
Menurut laporan, Chaina dan beberapa saudaranya cuba menghalang sebuah jentolak daripada memulakan kerja pemasangan menara elektrik.
Disebabkan tindakan tersebut, beberapa anggota polis dikatakan membelasah mangsa dan menahan empat yang lain.
Chaina menerusi khidmat peguamnya mendakwa bahawa dia tidak menerima sebarang pampasan bagi projek pembangunan tersebut. Dia turut menyatakan bahawa kontraktor syarikat elektrik cuba merampas tanahnya.
Peguam Chaina mendesak tindakan tegas diambil ke atas anggota polis yang terlibat sambil menambah, pihak berkuasa tidak mengendahkan aduan anak guamnya sebelum ini.
Pegawai kanan polis kanan, Manoj Kedia ketika menjawab soalan wartawan berkata, Chaina membuat kacau dan menghalang kerja pemasangan menara elektrik yang menyebabkan dia layak ditahan.
Dia turut menafikan Chaina dibelasah anggota polis sambil berkata: “Anggota polis wanita kami bertindak mengikut undang-undang.” – AGENSI