KETIKA ini, pengguna platform media sosial seperti TikTok dan juga Instagram pasti kerap mendengar terma fesyen old-money yang membanjiri media sosial sejak beberapa bulan lalu.
Terma old-money mulai membanjiri media sosial sejak dua tahun lalu, namun menjadi semakin popular selepas perkahwinan Sofia Richie, anak kepada lagenda muzik Lionel Richie, memandangkan wanita berambut perang itu disifatkan sebagai individu yang sering membawakan gaya tersebut.
Gaya Sofia yang ringkas tetapi tampak mahal mulai menjadi ikutan dengan pengguna TikTok mulai mencipta dan menterjemahkan estetika old-money mereka yang tersendiri.
Estetika gaya fesyen old-money merujuk kepada gaya berpakaian yang mewah dan elegan, namun tidak lapuk dek zaman.
Busana potongan klasik dalam rona-rona natural seperti putih, kelabu dan coklat kekuningan menjadi signatur gaya tersebut yang semakin menjadi ikutan dalam kalangan pengguna media sosial.
Menurut pakar psikologi fesyen dari Amerika Syarikat, Shakaila Forbes-Bell, terma old-money merujuk kepada cara berpakaian untuk memberitahu bahawa anda telah mewarisi kekayaan turun-temurun milik keluarga anda.
“Trend tersebut kini semakin meraih populariti, sama ada di media sosial mahupun dipamerkan dalam rancangan televisyen seperti drama bersiri Succession.
“Gaya tersebut yang ditonjolkan di kaca televisyen mencipta apa yang dipanggil chameleon effect, yang merujuk kepada keinginan untuk meniru apa yang dilihat di kaca televisyen,” ujarnya.
Tambah Forbes-Bell, antara busana yang sering digayakan untuk terlihat kaya adalah pakaian yang ringkas, tanpa pameran logo yang besar.
“Seluar berpotongan longgar, trench-coat, kasut sniker putih dan juga kasut balet merupakan antara item fesyen yang sinonim dengan gaya old-money.
“Rona-rona lembut seperti putih, coklat cair dan kelabu menjadi pilihan bagi gaya ini kerana ia nampak klasik dan elegan, selain sesuai digayakan bersama untuk look yang monokromatik,” katanya.
Bagi penggayaan aksesori seperti rantai atau cincin pula, ia haruslah bersifat ringkas dan tidak sarat bagi mengekalkan estetika tersebut.
Fabrik berkualiti seperti linen dan kashmir juga sinonim dengan penampilan old-money bagi menyerlah gaya mewah.
Tambah Forbes-Bell lagi, antara ikon fesyen yang disifatkan sebagai individu yang mempamerkan gaya old-money adalah mendiang Puteri Diana.
“Bagi saya, mendiang Puteri Diana sentiasa kelihatan ringkas dan tidak berlebihan, namun sentiasa tampak mahal,” ujarnya.
Jelas Forbes-Bell lagi, keinginan untuk bergaya mewah tidak seharusnya menjadikan seseorang itu berbelanja besar atau melebihi kemampuan.
“Sebagai manusia, adalah normal untuk kita mempunyai keinginan meniru gaya tertentu.
“Nasihat saya adalah sebelum berbelanja, pastikan busana yang dibeli itu boleh diulang pakai sehingga bertahun lamanya bagi mengelakkan berlakunya pembaziran.
“Hal ini kerana apabila kita membeli-belah, kita sering didorong oleh rasa keterujaan untuk menggayakan sesuatu biarpun hakikatnya barangan tersebut mungkin tidak sesuai dengan kita,” katanya.