PETALING JAYA – Tidak masuk akal dan sangat mahal, tempat lain berapa puluh sen sahaja.
Itu antara luahan dan komen pengguna sosial apabila melihat sekeping gambar memaparkan harga secawan gelas plastik hanya di isi ais berharga RM1.90.
Difahamkan, harga ais tersebut dijual di sebuah kedai korea terkenal, bagaimanapun tidak dinyatakan dengan tepat lokasi kedai berkenaan.
Berdasarkan kapsyen yang ditulis oleh individu yang berkongsi kisah tersebut di kenali sebagai Shafiruz Zaini, gambar itu diambil ketika dia berkunjung ke kedai berkenaan sebelum ini.
“Duduk lepak-lepak di kedai ini. Satu freezer jenis berdiri penuh cawan isi ais ni. Nampak seorang akak ni beli cawan ais ni, tak pasti apa yang dituangnya.
“Nasib baik (kedai terkenal). Kalau nama kedai runcit Pak Abu mesti kena bagi free (percuma) kalau tak kena kecam. Begitulah perangai netizen,” tulisnya.
Susulan perkongsian itu, rata-rata pengguna meninggalkan pelbagai komen yang mengecam tindakan pemilik kedai tersebut yang menjual ais kosong dengan harga yang sangat mahal serta tidak masuk akal.
“Beli dekat kedai 50 sen dah penuh plastik tapi tak ada cawanlah,” tulis Mimie Salamat.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Mira Zaini Ramli.
“Tepi rumah saya kedai dia memang jual ais batu, 50 sen banyak lagi dari yang ni,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE