SIBU-Lelaki yang terjatuh ke dalam sungai dari bot ekspres di dermaga ekspress Daro pada Sabtu lalu ditemukan mati lemas, pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, mayat mangsa berusia 48 tahun itu dijumpai kira-kira pukul 8.40 pagi oleh orang awam di Batang Igan, kira-kira 9.6 kilometer dari lokasinya jatuh.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis dan pengesahan mayat akan dibuat oleh keluarga mangsa di Hospital Sibu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kejadian yang dilaporkan kira-kira pukul 12.26 tengah hari Sabtu lalu, mangsa dilihat terjatuh ke dalam sungai dari atas bot ekspres ketika sedang mengangkat barang ke dalam bot.
Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan melibatkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral dan polis marin.
Operasi SAR yang memasuki hari ketiga hari ini, diteruskan pada pukul 7 pagi dengan kaedah pencarian di permukaan sungai dalam radius satu kilometer dari kawasan mangsa dilaporkan terjatuh.- KOSMO! ONLINE