PETALING JAYA – Seorang pelajar perempuan orang kelainan upaya (OKU) yang mengikuti Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di sebuah sekolah didakwa sering dibuli seorang guru wanita sehingga mengalami trauma.
Menerusi perkongsian di Twitter @pedoqpop, pendedahan itu dibuat oleh kakak pelajar tersebut berikutan keadaan trauma adiknya menjadi semakin teruk.
“Adik aku buat pembedahan mata dan tidak boleh berjemur atau kena panas namun dipaksa oleh guru untuk bersukan meskipun dah bagi surat doktor. Kesannya, setiap kali dia buat aktiviti, pihak sekolah telefon suruh ambil dia sebab mata dia berdarah.
“Selain itu, guru yang sama juga pernah sebarkan cerita bahawa adik aku malas solat kerana datang haid. Paling teruk, dia siap nak ugut buka kain adik aku,” katanya.
Dalam pada itu, wanita tersebut mendakwa guru terbabit juga sering menengking dan memulaukan adik perempuannya.
“Macam-macam hinaan dia buat tapi adik aku telah sahaja. Sekarang, adik aku dah trauma dan berbulan tak pegi sekolah berpunca daripada tindakan guru itu.
“Dia punya perubahan ketara, sampai banyak kali dia termenung seorang diri. Bila pergi dekat dia, rupanya sedang menangis,” ujarnya.
Bagaimanapun, katanya, pertemuan bapanya bersama pengetua sekolah tidak membuahkan hasil apabila mereka menuduh adiknya yang berusia 14 tahun hanya membuat cerita palsu.
“Pengetua tak nak aturkan perjumpaan kami dengan cikgu tu. Pihak sekolah sehabis baik nak lindungi guru tersebut. Dah naik jumpa Pegawai Pendidikan Daerah (PPD), tapi sampai sekarang masih sama kesnya.
“Bila nak buat laporan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPA), adik aku tiada kemampuan nak ‘eja’ nama guru. Dia hanya ingat guru wanita, ajar Bahasa Melayu dan Pendidikan Jasmani selain memakai kaca mata,” jelasnya.
Sehubungan itu, orang ramai menasihatkan wanita terbabit dan keluarganya untuk membuat laporan kepada pihak atasan termasuk Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Benda macam ni patut ada tindakan sekolah tersebut. Kalau PPD tak ambil tindakan, laporkan kepada JPN di bawah Unit Integriti dan Pengurusan Sekolah. Tak ada tindakan juga, lapor polis,” kata Azhar.
“Kalau PPD tak bagi maklum balas dalam dua minggu, tulis surat kepada Pengarah Pendidikan Negeri untuk minta siasatan di segerakan. Kena adil kepada semua pihak. Yang paling penting, pelajar kena diutamakan,” ujar Ooi Beng Cheng. – KOSMO! ONLINE