PETALING JAYA – Kisah poligami membabitkan pensohor media sosial dikenali sebagai Abang Tesla atau Muhammad Khal Iltizam Yusry menikam emosi penyanyi Shila Amzah apabila tampil ‘bersuara’ meluahkan rasa kurang selesa terhadap pernikahan kedua lelaki terbabit.
Biarpun pernikahan Muhamad Khal mendapat restu isteri pertama, Nurmajdina Jamari, pelantun Patah Seribu itu berpendapat, seorang suami suami yang benar-benar menyayangi isteri sepenuh hati tidak akan tergamak memadukan insan dicintai.
“Kalau awak betul sayang isteri pertama, tak adanya nak kahwin isteri kedua walaupun dapat izin dari yang pertama itu.
“Eh, baran (marah) tengok TikTok hari ini,” tulisnya menerusi ciapan panjang lebar selepas tersebar video dikongsi lelaki terbabit, semalam.
Pemilik nama sebenar Nurshahila Amir Amzah itu turut menyelar hantaran yang tular didakwa sebagai penghargaan Abang Tesla terhadap isteri pertamanya.
“Fikir logik saja. Jangan nak buat ‘appreciation post’ panjang berjela nak tunjuk bagaimana awak hargai isteri pertama bila awak buat keputusan untuk menduakan dia,” luah Shila menerusi Twitter.
Sebelum ini, lelaki yang kerap berkongsi mengenai kereta elektrik miliknya mengumumkan sudah bernikah buat kali kedua menerusi pendedahan dalam satu video.
Dalam perkongsian videonya, lelaki terbabit dilihat mendirikan solat subuh bersama isteri pertamanya tiga jam sebelum menikahi wanita kedua pilihannya, sekali gus meraih pelbagai reaksi.
Menyingkap emosi penyanyi berusia 33 tahun itu, Shila yang baru sahaja berdepan momen hampir serupa apabila berdepan episod keruntuhan keluarga apabila ibu bapanya, Datuk ND Lala dan Datin Fauziah Sarman akhirnya bercerai akibat kehadiran orang ketiga.
Lebih menyakitkan, ibunya diceraikan beberapa hari selepas Shila menamatkan status ibu tunggal dengan pernikahan keduanya bersama pensohor media sosial, Ubai pada pada 5 Ogos lalu. – HIBGLAM