ADA sahaja kontroversi tidak enak membabitkan penyanyi dan pelakon kacak Park Yoochun yang menjadi buah mulut dalam kalangan peminat.
Terbaharu, dia menerima kritikan hebat gara-gara tindakannya muncul di depan khalayak ramai tanpa memakai pelitup muka.
Kejadian tersebut berlaku ketika Yoochun berada di Thailand untuk menjayakan konsertnya. Dia dilaporkan tiba di negara tersebut pada 19 September lalu dan telah pun menjalani kuarantin kendiri selama dua minggu.
Kemunculannya menerima kecaman hebat apabila dengan selambanya dia tidak memakai pelitup muka dan hidung ketika berada di tempat awam.
Ramai yang meluahkan kemarahan dan kekecewaan terhadap penyanyi itu kerana bersikap mementingkan diri selain tidak mematuhi peraturan ketika dunia masih berperang dengan Covid-19.
Beberapa keping gambarnya tidak memakai pelitup muka dan hidung ketika tiba di sebuah lapangan terbang menjadi tular dalam internet.
Dalam beberapa keping gambar lain, Yoochun dilihat memakai topeng berkenaan dengan tidak sempurna kerana bahagian hidungnya tidak ditutup dengan betul.