PETALING JAYA – Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) mengadakan Program Pertanian Bandar dan Gotong-Royong Muhibbah di Kebun Kejiranan Bandar KRT Seri Perlis 2 dan Kebun Bandar Sungai Bunus, di Kuala Lumpur, semalam.
Dalam satu kenyataan, PPZ-MAIWP berkata, program itu bertujuan membantu penduduk kejiranan rukun tetangga (KRT) menambah baik kualiti hidup melalui program pertanian dan gotong-royong.
“Program itu juga untuk membina rangkaian sinergi bersama MAIWP, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Alam Flora, University Poly-Tech Malaysia (UPTM) dan Jabatan Pertanian.
“Rangkaian ini untuk kita bersama-sama menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar lestari melalui aktiviti penanaman anak pokok yang akan dijaga dan dipelihara oleh penduduk sekitar.
“Ia sekali gus dapat membantu meningkat ekonomi setempat dan hasil daripada tanaman ini akan dijual secara komersial pada harga berpatutan,” katanya.
Pada program itu, PPZ-MAIWP turut menyerahkan sumbangan kepada 100 asnaf terdiri daripada tukang kebun dan pekerja sektor kebersihan Jabatan Perumahan DBKL dan Alam Flora serta kelengkapan pertanian dan gotong-royong dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM44,033.
Penyampaian sumbangan tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi PPZ-MAIWP, Tan Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman.
Pada program sama turut menyaksikan sebanyak 10 syarikat sub kontraktor dan syarikat pembekal pokok dan baja menunaikan zakat perniagaan sebagai galakan untuk mula menunaikan kewajipan rukun Islam ketiga. – KOSMO! ONLINE