PETALING JAYA – Kehadiran pelakon Indonesia, Refal Hady ke negara ini bersempena promosi filem Ketika Berhenti Di Sini meraih sambutan luar biasa apabila lebih 1,000 peminatnya membanjiri pusat beli belah di Damansara Utama, di sini, semalam.
Keterujaan berjumpa aktor asal Jakarta itu membuatkan rata-rata peminat tegar sanggup beratur seawal pukul 10 pagi sedangkan dia dijadualkan muncul pada acara promosi tersebut pada sebelah petang.
Dalam kemeriahan acara tersebut, terselit momen kurang menarik apabila tercetus pergaduhan kecil ketika peminat yang berebut-rebut untuk bergambar dengan aktor yang sebelum ini popular dengan filem Galih & Ratna itu.
Mengulas tentang kehadirannya ke Malaysia, Refal sangat teruja untuk berjumpa peminatnya di bumi Malaysia.
“Saya sangat teruja berada di sini berjumpa peminat Malaysia,” katanya kepada Kosmo! Online sebelum perjumpaan peminat di sini, semalam.
Selain Refal, pelakon Indonesia lain yang hadir di ibu negara ialah Prilly Latuconsina dan sutradara filem terbabit, Umay Shahab.
Filem Ketika Berhenti Di Sini mula ditayangkan di pawagam tempatan pada 17 Ogos lalu mengisahkan seorang pereka grafik bernama Anindita Semesta (Prilly) yang mempunyai idealisme tinggi dan takut berdepan kegagalan.
Kemudian, Anindita berjumpa dengan Edison Kartasasmita (Bryan) yang merupakan seorang arkitek.
Pertemuan mereka bermula dengan salah faham, tetapi membawa kepada perkenalan sehingga terjadi suatu tragedi yang memberi impak besar terhadap Anindita. – KOSMO! ONLINE