PUTRAJAYA – “Dia (Heikal) memang minat mahu jadi juruterbang sejak kecil, malah amat meminati karakter Han Solo dalam filem Star Wars,” kata Leftenan Komander Husnein Aras Abdul Azim, 46, abang kepada Allahyarham Heikal Aras, 45.
Husnein yang juga Pegawai Staf Logistik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Markas Sungai Besi, Kuala Lumpur berkata, kejayaan Heikal menjadi juruterbang turut mendorong dua adiknya yang lain untuk mengikut jejak.
Katanya, dia amat berbangga dengan pencapaian adiknya itu untuk bergelar seorang juruterbang seperti yang diimpikan sejak kecil.
“Dia memang cukup minat mahu jadi juruterbang, malah sanggup bergaduh dengan kami adik-beradik kerana mahu merebut watak Han Solo.
“Kami empat beradik tidak menganggap pemergiannya sebagai satu kekurangan, tangisan kami bukan sebab kehilangannya, tetapi lebih kepada kenangan,” katanya ketika ditemui selepas majlis pengebumian jenazah Heikal di Tanah Perkuburan Islam Putrajaya, Presint 20, di sini hari ini.
Katanya, arwah disifatkan sebagai seorang yang ceria, penyayang, bapa yang baik, berakhlak tinggi, beradab dan sangat menghormati kedua ibu bapa.
Husnein berkata, dia cukup mengagumi Allahyarham adiknya itu kerana setiap masalah dihadapi dengan tenang dan diatasi dengan senyuman yang cukup manis.
Menurutnya, kali terakhir bertemu arwah adiknya tiga bulan lalu sebelum berlepas ke Amerika Syarikat dan tidak sempat bertemunya semula selepas pulang ke tanah air.
“Bagaimanapun, kami sentiasa berhubung menerusi panggilan video menggunakan aplikasi WhatsApp, malah setiap kali berhubung kami lima beradik sentiasa melawak dan menyakat antara satu sama lain,” katanya.
Ditanya sama ada anak arwah ada menunjukkan minat sama bergelar juruterbang, Husnein berkata, dia mendapati anak sulung arwah, Daniel Zulqarnain Heikal, 13, dilihat mempunyai minat dan cenderung yang sama dengan arwah.
“Daniel amat mahir serta amat bagus dalam membuat miniatur lapangan terbang menggunakan kadbod dan kemahiran itu mengatasi dan lebih baik berbanding arwah ayahnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE