MIAMI, Florida – Seekor paus pembunuh betina yang berada dalam kurungan kecil selama lebih 50 tahun di Miami, Florida, mati sebelum ia sempat dibebaskan di Lautan Pasifik, lapor portal berita New York Post semalam.
Paus dinamakan Toki mati itu akibat masalah ginjal kelmarin selepas jatuh sakit sejak beberapa hari sebelumnya, demikian menurut Miami Seaquarium di mana hidupan marin itu menjadi tarikan utama penonton selama 53 tahun.
“Kami mendapat penghormatan dan keistimewaan untuk meluangkan masa bersamanya. Kami akan sentiasa mengingati semangatnya,” kata Miami Seaquarium dalam satu kenyataan di media sosial.
Mamalia laut daripada spesies Orca itu memiliki panjang 6.4 meter dan berat 3,628 kilogram. Ia ditangkap di dalam laut pada tahun 1970 ketika berumur kira-kira 4 tahun sebelum dibeli oleh Miami Seaquarium untuk tujuan persembahan sehingga pada Mac lalu.
Toki dijangka dibebaskan ke tempat asalnya di perairan Puget Sound, Lautan Pasifik dalam tempoh dua tahun.
“Kisahnya menawan hati saya, sama seperti berjuta-juta orang lain. Saya berbesar hati menjadi sebahagian daripada pasukan yang bekerja untuk memulangkan Toki ke habitat asalnya,” kata s seorang dermawan, Jim Irsay di laman X.
Irsay merupakan penyumbang dana bagi memastikan ikan paus tersebut dijaga dengan baik sebelum ia dibebaskan. – Agensi