HULU KELANG – Ibu kepada Allahyarham Shahrul Kamal Roslan yang terkorban dalam nahas pesawat ringan di Persiaran Elmina, Shah Alam merasakan seakan-akan anaknya itu masih ada.
Mahanom Ismail, 67, berkongsi pengalamannya apabila dia seperti merasakan ‘kehadiran’ anaknya itu pada Jumaat malam, sehari selepas kejadian tersebut.
“Saya belum pernah termimpikan dia, tetapi saya ada rasa macam dia ada malam Jumaat kelmarin.
“Cuaca hari ini juga pada mulanya mendung, kemudian hujan. Naluri seorang ibu merasakan anak saya kini berada di tempat yang baik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pengebumian Shahrul Kamal, di Tanah Perkuburan Islam Klang Gates, di sini hari ini.
Mahanom berkata, dia bersyukur apabila pengebumian anaknya itu selesai selepas tertunggu-tertunggu dari Khamis lalu.
“Saya berterima kasih dengan pihak Masjid Kampung Klang Gates yang banyak bantu dalam proses pengebumian anak saya. Ramai juga yang datang, saya ucapkan terima kasih kerana datang,” ujarnya.
Sementara itu, bapa mentua Shahrul Kamal, Ketua Eksekutif Kumpulan Johor Corporation (JCorp), Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim tidak dapat menahan sebak apabila bercerita mengenai keperibadian Allahyarham.
“Dalam hidup ini, (pengakhiran baik) sebegini rupa, itu yang kita hendak. Dia bapa, menantu yang baik termasuk dengan sesiapa dikenalinya. Jadi, dia layak untuk terima pengakhiran begini.
“Saya tidak tahu apa kebaikan yang dia pernah lakukan, tetapi dia sudah lakukan perkara yang betul,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE