JOHOR BAHRU – Kementerian Pendidikan (KPM) sedang mengenal pasti jenis sukan atau aktiviti luar kelas yang sesuai bagi Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) untuk silibus Sekolah Sukan Pendidikan Khas yang dijangka mula beroperasi pada 2025.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, sekolah sukan khas yang dibangunkan di Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan itu bertujuan membangunkan potensi sukan golongan terlibat.
“Kita sudah ada sekolah-sekolah bagi murid berkeperluan khas, termasuk di Bumbong Lima, Pulau Pinang yang memberikan tumpuan terhadap pembangunan kemahiran anak-anak ini.
“Insya-Allah pada tahun 2025, kita akan mula mengoperasikan sebuah sekolah khas untuk mereka yang mempunyai potensi dalam bidang sukan, ini dinyatakan agar golongan itu juga mendapat tumpuan dalam soal pembangunan sukan.
“Kategori sukan buat masa ini kita sedang perincikan, sebab anak-anak berkeperluan khas ini mereka ada sukan tertentu. Kita akan maklumkan perkembangannya dari masa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Karnival Outreach Inklusig dan Kebolehpasaran Madani Murid Berkeperluan Pendidikan Khas Negeri Johor 2023 yang diadakan di pusat beli belah Aeon Bandar Dato’ Onn, di sini hari ini.
Tambah Fadhlina, inisiatif diambil kementerian itu bagi murid-murid berkeperluan khas adalah untuk meningkatkan kemahiran golongan berkenaan agar turut mendapat manfaat dalam bidang pendidikan.
“KPM juga akan bekerjasama dengan pelbagai agensi dalam meneroka bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk murid berkeperluan khas ini.
“Sehubungan itu, kita berharap lebih ramai pemain industri akan bersama-sama kementerian dalam memastikan potensi murid-murid berkeperluan khas ini dapat dicungkil sepenuhnya dalam konteks bidang TVET,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE