fbpx

Nahas Elmina: Henti tular video atau dikena tindakan – Ayob Khan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ayob Khan.

GOMBAK – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan ke atas individu yang bertindak menularkan rakaman video atau gambar nahas pesawat terhempas di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tindakan tersebut adalah bagi menghormati keluarga mangsa yang terlibat.

“Saya menyeru kepada semua masyarakat jangan tularkan video (tragedi) itu, hormatilah keluarga mangsa. Kalau ada lagi tular kita akan ambil tindakan,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Raudatul Sakinah, Batu Caves, di sini hari ini.

Terdahulu, Ayob Khan hadir di sini, bagi memberi penghormatan terakhir kepada Exco Kerajaan Negeri Pahang, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun yang maut dalam nahas pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) di Persiaran Elmina, Shah Alam, Khamis lalu.

Menurutnya, seramai tiga individu dirakam keterangan disyaki menularkan rakaman video tragedi tersebut yang mengorbankan lapan individu termasuk dua orang awam yang secara kebetulan melalui lokasi kejadian berhampiran susur keluar Lebuh Raya Guthrie.

Kata Ayob Khan, ketiga-tiga individu berkenaan tampil secara sukarela di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

“Setakat ini, tiga orang terlibat tularkan video. Mungkin ada lagi, kita tengok macam mana. Yang akan datang, kalau ada lagi (tularkan) kita akan ambil tindakan,” ujarnya.

Sementara itu, Ayob Khan berkata, siasatan berhubung nahas di Elmina akan diteruskan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) bagi mengenal pasti punca insiden.

“Siasatan melibatkan pihak pihak polis melibatkan pengecaman mayat sudah selesai. Siasatan lanjut nahas kita serah kepada BSKU. Itu kita tidak terlibat.

“Proses siasatan kita dah habis dan semua jenazah sudah dituntut. Kita dah buat padanan asid deoksiribonukleik (DNA) dan Ketua Polis Selangor juga dah keluar kenyataan semalam,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI