fbpx

15 anggota polis, pendaftar mahkamah ditahan di pusat hiburan positif dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ayob Khan ketika ditemui di Tanah Perkuburan Raudatul Sakinah, Batu Caves, hari ini.

GOMBAK – Seramai 14 anggota dan seorang pegawai kanan polis ditahan tugas selepas dicekup dalam serbuan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman di sebuah pusat hiburan sekitar Seremban, Negeri Sembilan, semalam.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, seorang timbalan pendakwa raya (TPR) dan pendaftar mahkamah turut ditahan dalam serbuan pada awal pagi itu.

“Seramai 14 daripada 15 anggota dan pegawai polis yang ditahan didapati positif dadah manakala dua penjawat awam yang ditahan juga positif dadah.

“Tindakan telah diambil, yang pertama mereka ditahan kerja dan kita sedang siapkan kertas siasatan untuk diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Raudatul Sakinah, Batu Caves, di sini hari ini.

Terdahulu, Ayob hadir di sini bagi memberi penghormatan terakhir kepada Exco Kerajaan Negeri Pahang, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun yang maut dalam nahas pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) di Elmina Central Park, Shah Alam, Khamis lalu.

Mengulas lanjut, beliau berkata kesemua anggota dan pegawai terbabit buat masa ini dilepaskan dengan jaminan polis sementara kertas siasatan dilengkapkan.

“Kita tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana (pihak) yang kita tangkap dalam operasi pusat hiburan. Kita akan ambil tindakan tegas dan ia bukan dikenakan (tindakan) selepas dihebahkan portal tertentu.

“Boleh tengok rekod tahun ini sahaja 741 tindakan tatatertib diambil dan lebih kurang 60 (anggota dan pegawai) sudah dibuang kerja setakat Julai,” katanya.

Beliau berkata, proses tatatertib berkenaan akan mengambil masa panjang dan meminta orang ramai tidak menganggap pihak polis melepaskan anggota dan pegawai terbabit tanpa tindakan.

“Mereka (suspek) diberi jaminan polis, itu proses biasa. Jangan tanya pula kenapa dibebaskan, itu proses biasa di bawah Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Walaupun saringan awal positif, kita akan hantar sampel kepada patologi yang mungkin akan ambil masa sebulan,” katanya.

Ayob berkata, jika disabit kesalahan anggota dan pegawai terbabit boleh digantung kerja sementara rayuan dibuat di mahkamah.

Semalam, media melaporkan, seorang pegawai kanan dan 14 anggota polis ditahan bersama dua timbalan pendakwa raya ketika disyaki sedang berhibur di sebuah pusat hiburan di Jalan Dato Sheikh Ahmad di Seremban, awal pagi semalam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI