PUTRAJAYA – Jenazah Allahyarham Heikal Aras Abdul Azim, 45, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Putrajaya, Presint 20, di sini pada pukul 2.20 petang tadi.
Turut hadir pada majlis pengebumian itu termasuk ibu dan bapa Allahyarham, Abdul Azim Aras, 76, dan Noorhizan Mohd Salleh, 68, selain tiga anak iaitu, Daniel Zulqarnain, 13, Suri Balqish Heikal, 10, Rafael Dzulqairy, 9.
Lebih 100 orang termasuk sanak- saudara dan kenalan Allahyarham hadir pada majlis pengebumian itu sebagai penghormatan terakhir.
Sesi talkin telah disempurnakan oleh Imam Masjid Mahmoodiah Presint 18, Muhammad Rafuwan Putra Affendi.
Terdahulu, jenazah tiba di kediaman keluarganya di Desa Pinggiran Putra, Sepang sejurus azan Zohor tadi sebelu disembahyangkan.
Jenazah di bawa keluar dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang kira-kira 11 pagi tadi sebelum di bawa ke Masjid Jamek Ar-Rahimiah, Klang untuk disembahyangkan. – KOSMO! ONLINE