BALIK PULAU – Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau menyatakan beliau tidak bersetuju dengan cadangan agar empat negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan yang berbeza dengan tema peringkat Persekutuan.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi PN berkata, ini kerana pada pandangan peribadinya tidak semua isu sepatutnya dipolitikkan terutama isu-isu melibatkan Hari Kebangsaan.
“Memang saya sendiri tidak setuju bahawa kita gunakan tema berlainan kerana bukan semua isu patut dipolitikkan. Kita tidak mahu berikan imej yang kita politikkan Hari Kebangsaan kepada rakyat,” katanya ketika ditemui selepas bertemu penduduk di Taman Sahabat, Teluk Kumbar di sini, hari ini.
Semalam, media melaporkan empat negeri di bawah pemerintahan PN mungkin menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan yang berbeza untuk sambutan peringkat negeri, berbanding menggunakan logo dan tema yang diumumkan di peringkat Persekutuan.
Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari, berkata Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang diperintah parti itu berkemungkinan menggunakan logo dan tema alternatif yang dilancarkan Pemuda PN, semalam.
Mengulas lanjut, Dominic berkata, isu berkenaan telah pun dibincangkan di peringkat pimpinan Pusat PN dan Ketua Pemuda PN juga telah memberikan maklum balas mengapa cadangan itu disuarakan pihaknya.
“Memang ada perbincangan di peringkat PN, dan saya telah suarakan bahawa kita tak setuju gunakan tema berlainan di negeri-negeri PN.
“Cadangan ini sebenarnya disuarakan oleh Ketua Pemuda PN untuk memberi teguran kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana tema Hari Kebangsaan sendiri telah dipolitikkan oleh kerajaan Anwar.
“Perkataan-perkataan yang digunakan untuk tema Hari Kebangsaan peringkat Kebangsaan seperti Madani, Perpaduan sendiri telah dipolitikkan, Anwar sendiri politikkan Hari Kebangsaan, sebab itu PN buat teguran ini,” katanya.
Tambahnya, Ketua Pemuda PN hanya memberi cadangan sedemikian dan perkara itu akan diputuskan oleh Menteri Besar atau Ketua Menteri empat negeri tersebut. – KOSMO! ONLINE