fbpx

Kopaba jadi contoh bangunkan hab ekonomi masjid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAFIZAL (tengah) meninjau salah sebuah gerai makan yang dibuka di Masjid Nur As’Saadah di Pengkalan Batu, Melaka. - Foto oleh SYAFEEQ AHMAD / KOSMO!

MELAKA – Koperasi Pengkalan Batu (Kopaba) diangkat menjadi koperasi komuniti contoh selepas hab ekonomi yang dibangunkan di Masjid Nur As’Saadah dekat sini berjaya membantu institusi itu menjana pendapatan untuk menampung keperluan lebih 2,000 penduduk.

Pengarah Institusi Koperasi Malaysia (IKMa) Zon Selatan, Hafizal Abu Bakar berkata, pembukaan 15 premis termasuk pasar raya mini, kedai cetakan dan gerai makanan di masjid berkenaan dilihat sebagai inisiatif yang berkesan dalam memperkasakan nilai agama, ekonomi dan kebajikan.

“Sebagai contoh pembukaan pasar raya Coop Mart ini telah dibimbing oleh IKMa dan dinaik taraf secara berperingkat sejak dua tahun lalu, kini ia memberi manfaat bukan sahaja kepada anggota Kopaba tetapi juga penduduk di sekitar Pengkalan Batu.

“Tidak banyak koperasi di Malaysia yang mampu memberikan perkhidmatan sebegini rupa melibatkan institusi masjid, apa yang dilaksanakan Kopaba ini amat membanggakan kerana secara tidak langsung ia membantu institusi itu menampung keperluan 2,000 penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Hari Bertemu Pelanggan Coop Mart di Masjid Nur As’Saadah yang dirasmikan Pengerusi Kopaba Datuk Amzah Osman, di sini, semalam.

Tambahnya, Pokaba juga merupakan koperasi pertama melancarkan kad keahlian yang menyimpan data individu dan menawarkan diskaun istimewa untuk pembelian barangan di pasar raya milik organisasi itu.

Sementara itu, Amzah yang juga merupakan Pengerusi Masjid Nur As’Saadah berkata, sebanyak 30 peratus daripada pendapatan yang dijana oleh koperasi diberikan kepada pihak masjid sebagai pulangan kerjasama.

“Sebelum menjadi pengerusi Kopaba, saya adalah pengerusi masjid ini dan selepas diberikan tanggungjawab pada tahun lepas saya dapat sokongan daripada komuniti setempat untuk menjayakan hub ekonomi di sini.

“Sehingga kini kita mempunyai 190 ahli dengan modal berbayar RM200, dulu kita bagi dividen sebanyak 10 peratus tetapi dalam mesyuarat agong tahun lalu dan selepas mendapat kelulusan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), hari ini kita bayar 30 peratus kepada semua pemegang saham yang layak,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pengkalan Batu, Md. Derus Tompang pula memberitahu, hasil pendapatan yang diterima daripada Kopaba telah digunakan oleh pihak masjid untuk membuka sebuah pejabat kebajikan.

“Kita ada 72 buah keluarga B40, asnaf pula 16 buah keluarga, mereka semua ini diberi bantuan oleh masjid kira-kira RM200 sebulan, termasuklah makanan dan keperluan harian seperti lampin pakai buang.

“Dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengakalan Batu ini kita ada 10 JPKK dan kami adalah satu-satunya yang tidak mengambil sebarang bantuan daripada Japerun kerana kita mampu menyalurkan sendiri keperluan itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI