fbpx

NCIA bantu promosi produk peserta empowerNCER

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir (empat dari kiri) menyerahkan replika cek bantuan kepada wakil Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Pulau Pangkor disaksikan Nor Alya Afikah (tiga dari kanan) di Masjid Kampung Raja Teluk Bayang semalam. - Foto IHSAN NCIA

LUMUT – Pelaksanaan Program Khidmat Bakti Pulau Pangkor oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) di sini semalam membuka peluang kepada peserta empowerNCER daerah Manjung khususnya pelajar Kursus Masakan (Makanan Laut) untuk memperkenalkan produk masing-masing kepada umum.

Wakil NCIA, Noor Alya Afikah Amran berkata, program itu juga bermatlamat untuk memberi peluang kepada para peserta berkenaan membina jaringan perniagaan dengan pemain dalam industri berkaitan.

“Program Khidmat Bakti Pulau Pangkor turut menjadi platform bagi para peserta empowerNCER untuk mewujudkan jalinan hubungan yang baik antara mereka dengan komuniti setempat melalui aktiviti khidmat masyarakat seperti gotong-royong di Masjid Kampung Teluk Raja Bayang.

“Mereka yang menyertai program dilaksanakan itu juga berpeluang untuk menjana pendapatan sepanjang ia berlangsung,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Menurut Noor Alya Afikah, Kursus Masakan (Makanan Laut) empowerNCER disertai oleh 27 orang peserta, dengan sebilangan daripadanya terlibat dengan program khidmat masyarakat semalam.

Katanya, antaranya menu unik yang dihasilkan oleh para peserta tersebut termasuklah popia sira, kuih jawa, kaswi dan mi lipat.

Sementara itu, seorang peserta empowerNCER, Nor Husizayati Hussain, 50, berkata, dia kini berjaya meraih pendapatan walaupun baharu sebulan mengikut kursus masakan tersebut.

“Selepas berhenti kerja di sebuah resort di sini, saya mencari peluang lain untuk menjana pendapatan dan dari situlah mendapat tahu tentang kursus empowerNCER tersebut. Kini sudah sebulan bergelar peserta Kursus Masakan (Makanan Laut) empowerNCER.

“Alhamdulillah, kelas yang diikuti memberi keyakinan kepada saya untuk berniaga selain cara-cara untuk bergiat aktif dalam industri makanan. Pendapatan dijana ketika ini membantu saya dalam meringankan komitmen bulanan keluarga,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI