KLANG – Polis mengesahkan tiada lagi mana-mana individu lain yang terlibat dalam nahas pesawat Beechcraft Model 390 di Persiaran Elmina, Shah Alam dekat sini Khamis lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ini selepas proses padanan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terhadap 300 sampel yang diberikan kepada Jabatan Kimia sebelum ini.
“Semua cebisan-cebisan anggota badan itu adalah berpadanan. Ada yang dapat (dikenalpasti) menerusi cap jari, DNA dan rekod pergigian.
“Kita memang pasti kepunyaan individu (10 yang nahas sebelum ini). Tiada lagi mana-mana individu terkorban.
“Hanya 10 mangsa terkorban iaitu lapan di pesawat dan dua di jalan raya,” katanya pada sidang akhbar di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) hari ini.
Kata beliau, pihaknya mengakui memang sukar termasuk dalam proses pencarian dan pengumpulan mayat ekoran impak di lokasi kejadian berkenaan.
Ujarnya, pihaknya mengambil masa selama tiga hari bermula hari kejadian pada Khamis lalu termasuk dalam aspek pemadaman DNA.
“Walaupun begitu semua proses dipermudahkan. Inilah paling cepat kita dengan diselesaikan sehari awal berbanding jangkaan awal Isnin ini (esok).
“Alhamudulillah, banyak urusan dapat diselesaikan pada tengah malam tadi dan menyerahkan (baki sembilan jenazah) kepada waris-waris,” katanya. – KOSMO! ONLINE