fbpx

Sambutan Hari Kebangsaan tidak bersifat politik – Fahmi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fahmi ketika sidang akhbar selepas majlis pelancaran #DemiNegaraku & Home of Kids Campaings di IOI City Mall, hari ini.-FOTO - FAIZ ALIF ZUBIR/KOSMO!

PUTRAJAYA – Sambutan Bulan Kebangsaan bukan bersifat politik dan semua pihak perlu mengenepikan perbezaan politik demi kepentingan negara.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, tindakan Perikatan Nasional (PN) yang mahu menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan berbeza untuk sambutan peringkat negeri di bawah pentadbiran parti perlu diteliti semula sebagai menghormati bulan kemerdekaan dan tidak sepatutnya ada perbezaan sehingga mewujudkan suasana kurang bersatu.

Katanya, kini masa berpolitik sudah tamat biarpun selepas ini bakal menyusul tiga Pilihan Raya Kecil (PRK) tidak lama lagi.

“Jika sebelum ini angkat bendera parti, sekarang kita ketepikan dan angkat bendera Malaysia pula, kita tidak mahu ada fahaman politik, sekarang kita fokus membangunkan Malaysia bersatu-padu.

“Jika ada agenda lain kita ketepikan sementara waktu, tunggu empat tahun lagi,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri pelancaran #DemiNegaraku & Home of Kids Campaigns anjuran Astro, hari ini.

Fahmi mengulas kenyataan Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari berhubung cadangan sambutan itu di Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang diperintah parti itu berkemungkinan menggunakan logo dan tema alternatif yang dilancarkan Pemuda PN, hari ini.

Katanya, logo yang diperkenalkan Pemuda PN berteraskan bunga raya dengan lima kelopak yang menjadi bunga kebangsaan serta mengambil elemen warna yang terdapat pada Jalur Gemilang, dengan tema ‘Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera’.

Dalam pada itu, beliau meminta rakyat Malaysia supaya memainkan peranan masing-masing meraikan sambutan Bulan Kebangsaan pada bulan ini dengan mengibar Jalur Gemilang.

“Kita mainkan peranan letak semua nama kita dalam media sosial dengan ikon Jalur Gemilang, muat naik gambar Jalur Gemilang untuk kibarkan di alam siber.

“Di peringkat Jabatan penerangan dan pihak berwajib kita pastikan lebih banyak Jalur Gemilang. Di luar kita usahakan dan secara dalam talian juga kita raikan lebih rancak,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI