BENTONG – Kehilangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun yang terkorban dalam nahas pesawat Beechraft 390 di Elmina, Shah Alam, Selangor memberi kesan kepada penduduk pelbagai kaum di daerah ini.
Jasa dan kebaikan Allahyarham sangat dirasai khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai yang seolah-olah hilang sandaran.
Rata-rata penduduk pelbagai kaum ditemui menyatakan mereka amat sedih dan terkejut dengan kejadian yang menimpa wakil rakyat berkenaan dan banyak terhutang budi dengan jasa dan keikhlasan Allahyarham dalam membantu mereka.
Ketua Kampung Sungai Perdak, Thu Yin Li berkata, jasa yang Allahyarham Johari sememangnya tidak terbalas khususnya dalam membantu penduduk kampung itu yang terjejas teruk selepas rumah mereka musnah dalam tsunami kepala air baru-baru ini.
“Lepas tsunami kepala air dia (Johari) orang pertama jumpa dengan penduduk kampung dan berikan bantuan kewangan dan sebagainya, hendak roboh rumah rosak, bersihkan sampah dan sebagainya dialah yang keluarkan modal dan sekarang pembinaan rumah baharu giat dilakukan atas usahanya.
“Dia bukan hanya cakap mulut tetapi turun padang dengar masalah penduduk dan selesaikan, dia (Johari) patut jadi contoh kepada pemimpin lain supaya mereka jangan hanya hendak kuasa semata-mata lepas dapat kuasa tidak bantu orang kampung,” katanya semalam.
Dalam pada itu penduduk Kampung Lembah Jaya, Atan Zainal, 62, berkata, aura yang ada dalam diri Allahyarham membuatkan dia amat disenangi dan menjadi harapan penduduk.
Katanya, penduduk di kampung berkenaan tidak dapat lupa jasa Allahyarham yang membebaskan mereka daripada belenggu isu lalat yang berlarutan hampir dua tahun.