MARANG – Pakej menikmati durian dalam kebun yang diperkenal di Kampung Jerung di sini menjadi tarikan penggemar raja buah sekali gus meningkatkan pendapatan pekebun.
Pekebun durian, Muhammad Abdul Hadi Mamat, 42, berkata, sejak memperkenalkan pakej itu, hasil jualan durian di kebunnya meningkat berkali ganda berbanding penjualan secara konvensional di tepi jalan.
“Pelanggan yang datang ke sini bukan sahaja penduduk setempat, malah ada pelancong dari luar Terengganu.
“Musim raja buah di kampung ini bermula pada pertengahan Julai lalu sehingga bulan depan. Buah durian juga lebih lebat berbanding tahun lalu.
“Pelanggan bukan sahaja dapat mengutip sendiri durian yang luruh, tetapi mereka dapat menikmati secara santai memakan raja buah itu di dalam suasana kebun,” katanya ketika ditemui di kebun duriannya di Kampung Jerung semalam.
Muhammad Abdul Hadi memberitahu, suasana di kebun durian seluas enam hektar miliknya itu akan bertambah meriah pada hujung minggu.
Terdapat pelbagai jenis durian dijual seperti kampung dan klon.
“Durian ini dijual pada harga RM7 hingga RM25 sekilogram mengikut gred,” katanya.
Sementara itu, seorang pengunjung, Aw Kam Siew, 48, dari Kuala Terengganu berkata, memakan durian bersama keluarga di dalam kebun lebih nikmat berbanding ketika di rumah.
“Saya bersama 14 ahli keluarga datang ke sini untuk menikmati durian segar yang baru dikutip. Dua anak saudara dari Klang, Selangor dan Kuala Lumpur pun turut serta.
“Mereka kelihatan begitu teruja dapat menikmati durian dalam suasana begini (dusun),” katanya.
Tambah Kam Siew, harga durian yang dijual di kebun tersebut juga berpatutan.