LONDON – Arsenal dilaporkan mengadakan rundingan untuk mendapatkan pemain pertahanan Manchester City, Joao Cancelo bagi menggantikan tempat Jurrien Timber yang terpaksa dipinggirkan selama tujuh bulan.
Timber, 22, menyertai Arsenal daripada Ajax dengan harga £38.5 juta (RM228.09 juta) bulan lalu, tetapi khidmatnya terpaksa dilupakan apabila mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) minggu lepas.
Situasi itu kembali menimbulkan khabar angin mengaitkan The Gunners dengan Cancelo, 29, yang memiliki corak permainan mirip Timber kerana boleh beraksi sebagai pertahanan kiri, kanan dan tengah.
Difahamkan, Arsenal berminat untuk meminjam tonggak Portugal itu terlebih dahulu sebelum membelinya secara tetap pada penghujung musim ini.
Bagaimanapun, Pengurus City, Pep Guardiola dikatakan lebih cenderung untuk menjual Cancelo dalam pasaran perpindahan ketika ini dengan harga £51 juta (RM302.15 juta).
Selain Arsenal, juara Sepanyol, Barcelona juga antara pasukan berminat dengan Cancelo yang sebelum ini dikatakan hampir-hampir untuk berhijrah ke Stadium Camp Nou.
Namun, perbincangan antara The Catalans dan City dikatakan tertangguh kerana masalah kewangan yang dialami jaguh La Liga itu, sekali gus membuka peluang kepada Arsenal untuk mencuba nasib mereka.
Sebagai rekod, Cancelo menyertai City daripada Juventus pada Ogos 2019 dengan harga £60 juta (RM355.47 juta), namun didakwa tidak sebulu dengan Guardiola mengakibatkannya dipinjamkan ke Bayern Munich musim lalu. – AGENSI