fbpx

Harry Kane buka akaun gol Bundesliga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KANE meledak satu gol ketika membantu Bayern membenam cabaran Bremen pada aksi Bundesliga awal pagi semalam. - AFP

BREMEN – Kapten England, Harry Kane tidak menunggu lama untuk mencipta impak apabila meledak satu gol dan satu bantuan jaringan bersama Bayern Munich menewaskan Werder Bremen 4-0 awal pagi semalam.

Kecemerlangan Kane, 30, antara faktor membantu Bayern membuka kempen musim baharu Bundesliga dengan penuh bergaya dalam aksi di Weserstadion itu.

Bagaimanapun, Kane mengakui, gementar dan masih menyesuaikan diri bersama The Bavarians selepas berhijrah daripada Tottenham Hotspur dengan harga €110 juta (RM557.40 juta) minggu lalu.

“Saya gementar dan pada masa sama tidak sabar untuk menghadapi perlawanan ini. Saya percaya situasi ini tidak mengambil masa lama selepas saya berjaya menyesuaikan diri.

“Saya gembira kerana kami dapat bermula baik dengan meraih gol pertama. Ia memudahkan saya kerana saya tidak menjangka dapat menjaringkan gol dalam perlawanan pertama bersama pasukan baharu,” kata Kane.

Kane mencipta gerakan buat Leroy Sane meledak gol pertama Bayern seawal minit keempat sebelum dia menggandakan kedudukan menerusi rembatan leret dari luar kotak penalti pada minit ke-74.

Sane kemudiannya meledak gol ketiga Bayern pada minit ke-90 sebelum Mathys Tel memastikan kemenangan 4-0 buat skuad bimbingan Thomas Tuchel itu empat minit kemudian.

Kemenangan itu amat bermakna buat Kane dan Bayern bagi menebus kekecewaan selepas mereka tewas 0-3 kepada RB Leipzig pada aksi Piala Super Jerman baru-baru ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN