IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyita 55 tong berisi gas petroleum cecair (LPG) bernilai RM18,713.80 dalam serbuan di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Ringan Bercham, di sini semalam.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan hasil aduan dan risikan itu dijalankan pada pukul 9.30 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota KPDN Perak.
Katanya, hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati, premis sedang beroperasi di mana menjalankan perniagaan dobi mencuci cadar dan tuala dari hotel.
“Pemeriksaan lanjut di premis itu menemui sejumlah tong LPG pelbagai jenama berada di dalam sebuah stor simpanan LPG dan digunakan untuk mesin pengeringan pakaian.
“Ketika serbuan dijalankan, seorang wanita tempatan berusia 35 tahun yang mengaku sebagai pembantu premis turut berada di lokasi kejadian,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, pembantu premis itu gagal mengemukakan sebarang lesen CSA (Control Supply Act) bagi borong atau runcit mahupun permit barang kawalan berjadual LPG apabila diminta semasa pemeriksaan dijalankan.
“Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM18,713.80. Kes ini akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.-KOSMO! ONLINE