KLANG – Keputusan urusan pengebumian jenazah termasuk tapak perkuburan melibatkan mangsa daripada Pahang yang terlibat dalam nahas pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) diserahkan kepada waris dan ahli keluarga masing-masing.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, perkara itu bertepatan terutama melibatkan aktiviti ziarah dan tahlil terutama ketika Hari Raya Aidilfitri.
Katanya, tambahan kampung bagi kelapan-lapan mangsa adalah jauh antara satu sama lain termasuk di Janda Baik dan Bentong.
“Bagi pihak kerajaan, kebumi bagaimana itu serahkan kepada keluarga memandangkan itu terlalu peribadi sebenarnya. Dulu seingat saya ada yang dikebumikan sekali. Saya tidak mahu komen mengenainya (sangat).
“Tidak mahu nanti, saya cakap dan timbul spekulasi macam-macam seperti ditularkan. Itu urusan keluarga,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan luar Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai penularan kesemua mangsa daripada Pahang akan dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Seksyen 21 Shah Alam dekat sini.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lancang itu turut memaklumkan kehadiran di HTAR adalah bagi mendapatkan maklumat terkini berhubung proses bedah siasat tersebut.
“Saya datang sini untuk ‘stanby’ kalau ada perkara-perkara perlu untuk update kita bagi negeri Pahang,” katanya.
Mengulas mengenai sama ada jenazah yang akan dituntut esok melibatkan Idris Abdol Talib@Ramali, Mohd. Sharkar menjelaskan tidak mengetahui mengenainya.
“Itu saya tidak tahu. Sebab itu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) telah mengeluarkan kenyataan supaya tidak mempercayai atau menularkan sesuatu yang tiada kesahihan.
“Saya pun tidak tengok. Yang penting sekarang adalah jenazah dapat segera dibuat proses diperlukan dan buat pengebumian secepat mungkin,” katanya.
Nahas pesawat jenis Beechcraft 390 (Premier 1) itu mengorbankan 10 nyawa termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun. -KOSMO!ONLINE