fbpx

Nahas Elmina: Agong beri sumbangan peribadi kepada balu Ustaz Idris

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azuan menyerahkan sumbangan daripada Seri Paduka Baginda kepada Adlina, balu seorang mangsa nahas kapal terbang ringan Elmina, Khamis lalu.

PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan memberikan sumbangan peribadi kepada balu Allahyarham Idris Abdol Talib@Ramali, salah seorang mangsa nahas insiden pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam, Khamis lepas.

Sumbangan berkenaan diserahkan oleh Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini kepada Adlina Aisyah Ahmad Rusli.

Adlina Aisyah pernah bertugas di Istana Negara dari tahun 2011 hingga 2015 sebagai seorang Pegawai Pentadbir.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan ucapan takziah kepada Adlina dan keluarga atas pemergian mengejut suami tersayang ke Rahmatullah.

“Seri Paduka Baginda turut berdukacita dan menzahirkan harapan agar Adlina dan keluarga tabah dan sabar menghadapi dugaan dan mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh,” katanya satu hantaran di laman Facebook, hari ini.

Terdahulu Kosmo! semalam melaporkan, seramai 10 mangsa maut dalam nahas kira-kira pukul 2.48 petang di Persiaran Elmina, Shah Alam.

Kesemua mangsa yang maut adalah dua juruterbang, Shahrul Kamal Roslan berusia 41 dan Heikal Aras Abdul Azim (45).

Enam penumpang terlibat ialah Datuk Seri Johari Harun (53), Kharil Azwan Jamaludin (43), Shaharul Amir Omar (49), Mohamad Naim Mohamed Muaidi (35) Muhammad Taufiq Mohd Zaki (37) dan Idris Abdol Talib @ Ramali (41).

Turut terkorban dalam nahas tersebut adalah penunggang motosikal, Muhammad Hafiz Muhammad Salleh (32) serta pemandu kereta, Sharipuddin. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI