MIRI – Seramai 119 penduduk Rh. Ningkan di Lembong Suai, di sini tinggal sehelai sepinggang apabila rumah panjang yang didiami mereka musnah dalam satu kebakaran petang semalam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian kira-kira pukul 1.14 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah ke lokasi.
“Setibanya pasukan bomba di tempat kejadian kira-kira 50 kilometer dari balai, anggota mendapati rumah panjang satu tingkat yang mempunyai 22 pintu itu mula diduduki pada tahun 1992 sudah terbakar 100 peratus.
“Anggota kemudian membuat pemadaman menggunakan sumber air berdekatan rumah panjang terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, kesemua penduduk rumah panjang itu selamat tanpa sebarang kecederaan atau kehilangan jiwa.-KOSMO! ONLINE