fbpx

Nahas Elmina: Orang awam diminta kemuka video awal kepada badan penyiasat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan (MOT) memohon bantuan orang awam atau mana-mana pihak mempunyai sebarang bentuk rakaman video dan gambar relevan berhubung nahas pesawat ringan jenis Beechcraft 390 (Primier 1) di Elmina, Shah Alam, Khamis lalu.

MOT dalam kenyataan di sini berkata, gambar dan video berkenaan boleh dikemukalan kepada Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) melalui emel [email protected].

Katanya, kesemua bahan berkenaan adalah bagi membantu siasatan dan laporan awal siasatan perlu disediakan dalam masa 30 hari dari tarikh kejadian kemalangan udara tersebut.

“Tujuan utama penyiasatan dilaksanakan adalah untuk menentukan hal keadaan dan punca kemalangan dengan tujuan untuk menyelamatkan nyawa dan juga mengelakkan berlaku kemalangan yang sama di masa hadapan.

“Dalam hubungan ini, penyiasatan yang dilaksanakan tidak bertujuan untuk membuktikan kesalahan atau liabilit,” kata kenyataan itu hari ini.

Jelasnya, MOT juga memohon kerjasama orang awam yang berada berdekatan tempat kejadian dan menyaksikan kemalangan tersebut untuk berhubung dengan BSKU melalui emel ataupun talian BSKU 03-8892 1235 (Lt Kol Juma’in Saadon TUDM) untuk membantu siasatan kemalangan udara tersebut.

“Kementerian Pengangkutan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada orang awam di atas kerjasama yang diberikan untuk membantu siasatan,” ujarnya.

Tambah MOT, pihaknya merayu kepada orang awam untuk tidak menyebarluaskan imej dan video mangsa yang terkorban dalam kemalangan udara tersebut.

“Perbuatan sedemikian akan menimbulkan kekeliruan dan spekulasi yang bukan sahaja menganggu siasatan kemalangan udara, bahkan menyinggung perasaan keluarga waris mangsa,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI