ALOR SETAR – Kelebihan dimiliki Perak FC menerusi agregat 3-1 sebelum ini, nyata memberi kelebihan kepada The Bos Gaurus apabila berjaya melangkah ke suku akhir Piala Malaysia meskipun tewas 2-1 kepada Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di Stadium Darul Aman, di sini sebentar tadi.
Kejayaan itu tampak lebih manis apabila anak-anak buah Yusri Che Lah terpaksa bergelut untuk mempertahankan kelebihan dimiliki, setelah mereka kehilangan seorang pemain akibat dilayangkan kad merah pada minit ke-54.
Percubaan tepat pertama tuan rumah akhirnya hadir pada minit ke-22 menerusi sepakan percuma diambil sayap lincah Sang Kenari, Manuel Hidalgo dari sebelah kiri kotak penalti pasukan pelawat, namu gagal meluahkan hasil.
Tekanan demi tekanan diberikan KDA FC akhirnya mendatangkan hasil pada minit ke-28 apabila hantaran lintang dibuat Amirbek dari sebelah kiri pintu gol, terkena tangan pemain lawan menyebabkan pengadil perlawanan, Razlan Joffri Ali menghadiahkan sepakan penalti kepada tuan rumah.
Hidalgo yang diamanahkan untuk mengambil sepakan tersebut oleh Ketua Jurulatih Sang Kenari, Nafuzi Zain tidak mensia-siakan peluang apabila rembatan kaki kirinya menerjah jaring untuk gol pertama perlawanan.
Memasuki babak kedua, pasukan pelawat kemudiannya terpaksa bermain dengan 10 pemain apabila Khairul Asyraf Ramli yang baru dibawa masuk pada separuh masa kedua dilayangkan kad merah kerana membuat terjahan keras terhadap Amirbek pada minit ke-54.
Kesempatan itu digunakan sepenuhnya oleh KDA FC bagi merancakkan serangan dengan memasukkan Jonathan Balotelli untuk menggantikan Amirbek yang cedera.
Asakan bertali arus dilakukan anak-anak buah Nafuzi akhirnya membuahkan hasil apabila rembatan jarak jauh dilakukan pemain pertahanan Akmal Dzahir terkena kaki Kapten Perak FC, Luciano Guaycochea untuk gol kedua Sang Kenari pada minit 82.
Kegembiraan para penyokong KDA FC bagaimanapun tidak bertahan lama apabila kegagalan Kalamullah mendakap kemas bola sepakan percuma diambil pemain gantian, Che Mohamad Suhairi Che Halim, membolehkan Seonung melakukan tandukan untuk menghasilkan gol buat pasukan pelawat pada minit ke-85.-KOSMO! ONLINE.