KUALA NERUS – Terengganu FC (TFC) mudah melangkah ke suku akhir Piala Malaysia selepas menewaskan KL Rovers 3-0 pada peringkat pusingan 16 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini sebentar tadi.
Kemenangan 7-0 secara agregat itu menyaksikan skuad Sang Penyu akan membuat perhitungan dengan Selangor FC atau PDRM FC pada pusingan lapan terbaik pertengahan bulan depan.
Awal permainan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan melalui sepakan percuma pemain KL Rovers, Mohammad Amer Saidin minit keenam serta rembatan deras Ivan Mamut minit kelapan.
TFC memiliki peluang terbaik pada minit ke-12 apabila bola hantaran Norhakim Hassan dari sebelah kanan yang ditanduk Hakimi Abdullah mengenai palang gol pelawat.
Dua minit kemudian giliran voli kencang daripada Mamut menggegar palang sebelum tindakan susulan Norhakim mudah dibaca penjaga gol KL Rovers, Ameerul Eqwan Fauzi.
Gol dicari-cari TFC akhirnya menjelma selepas umpanan bek kanan, Muhammad Safwan Mazlan mudah disambar Norhakim untuk gol pembukaan minit ke-32.
Bersambung babak kedua, tuan rumah berusaha melebarkan kelebihan menerusi percubaan berturut-turut Mamut (m-55) dan Nurillo Tukhtasinov (m-60) namun gagal menemui sasaran.
Jaringan Liridon Krasniqi minit ke-72 disusuli gol kedua peribadi Norhakim minit ke-90 hasil kesilapan penjaga gol lawan kemudian memastikan TFC menamatkan permainan dengan kemenangan 3-0. – KOSMO! ONLINE.