PETALING JAYA – Dengan sekali lafaz, pelakon popular, Intan Najuwa selamat bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Datuk Ahmad Asraf Azman petang tadi.
Dalam majlis pernikahan yang berlangsung pukul 6.35 petang di sebuah resort di Pantai Desaru, Bandar Penawar, Johor, Intan atau nama sebenarnya Intan Najuwa Abd. Wahid, 26, menerima mas kahwin bernilai RM20,000 dan hantaran berjumlah RM222,000.
Angka dua menjadi pilihan sebagai simbolik tempoh dua tahun perkenalan antara Intan dan suami yang berusia 39 tahun itu.
Pemilihan pernikahan pada 18 Ogos juga sempena tarikh hari lahir pelakon Kekasih Rela Paksa itu yang menginjak genap usia 26 tahun hari ini.
Pasangan mempelai dinikahkan Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, Datuk Dr. Haji Nooh Gadot.
Difahamkan, majlis resepsi kedua akan diadakan pada malam esok Rimbunan Event Space, Johor Bahru.
“Alhamdulillah, saya bersyukur segalanya dipermudahkan dan berjalan dengan lancar.
“Doakan yang terbaik buat kami berdua dalam melayari rumah tangga.
“Meskipun sudah bergelar isteri, saya akan terus menyambung karier lakonan serta mengutamakan pengajian serta bisnes sekarang,” katanya.
Sebelum ini, Kosmo! Online melaporkan tentang aktres itu yang tidak membuka mulut untuk berkongsi apa-apa kenyataan berhubung dakwaan dirinya kini sudah mengikat tali pertunangan bersama seorang lelaki berstatus Datuk.
Menurut sumber, majlis pertunangan mereka berlangsung di kediaman keluarga Intan di Johor Bahru, Johor dan mereka dikatakan bakal mendirikan rumah tangga tahun ini.
Selain Intan, tarikh 18 juga menjadi pilihan majlis pernikahan pasangan Mimi Lana dan Syafiq Kyle namun dibatalkan atas sebab yang tidak diperincikan.- KOSMO! ONLINE