KUALA LUMPUR – Zontes Distribution Sdn. Bhd. melancarkan skuter Zontes 350 Series baharu untuk pasaran Malaysia.
Menurut Pengurus Pemasarannya, Joey Chia, model motosikal itu yang mendapat sambutan meluas di Eropah hadir dengan reka bentuk mengagumkan.
Katanya, Zontes 350 Series dilengkapi dengan teknologi terkini dan pelbagai ciri-ciri premium ditawarkan dalam dua varian iaitu 350D dan 350E yang dijual pada harga RM23,800 dan RM25,800.
“Motosikal ini menggunakan enjin silinder tunggal 349cc dengan kotak gear CVT automatik untuk menghasilkan kuasa maksimum 36hp dan tork tertinggi pada 38Nm.
“Model 350D yang lebih kecil dan ringan mempunyai berat hanya 190 kilogram (kg). Ia hadir dengan pilihan warna perak atau hitam,” katanya.
Tambah Joey, varian 350E pula memiliki jarak roda yang lebih panjang iaitu 1,565 milimeter dan lebih berat pada 203kg.
Beliau percaya skuter Zontes 350 Series mampu membantu syarikat mendapatkan bahagian pasaran yang lebih besar dalam pasaran skuter di negara ini.
“Rancangan kami ialah untuk meluaskan rangkaian jualan dan perkhidmatan selepas jualan Zontes dengan mempunyai kehadiran di setiap negeri bagi menarik lebih ramai lagi pengguna di Malaysia,” jelasnya.
Skuter itu ditawarkan dengan waranti selama dua tahun atau 20,000 kilometer (km) dan sehingga tiga tahun atau 30,000km bagi komponen enjin, tertakluk kepada terma dan syarat. – KOSMO! ONLINE