SHAH ALAM – Trafik di Elmina Central Park, Seksyen U16, di sini kelihatan lancar setelah jalan kedua-dua arah dibuka sejak pukul 3 petang tadi.
Tinjauan Kosmo! dari pusat kawalan di lokasi kejadian mendapati, berlakunya penambahan kenderaan setakat pukul 5.55 petang ekoran orang ramai pulang bekerja.
Trafik juga kelihatan perlahan ekoran orang ramai mengambil kesempatan untuk merakam gambar lokasi kejadian dari dalam kenderaan masing-masing.
Terdapat beberapa penunggang p-hailing turut berkumpul berdekatan lokasi nahas, namun mereka diminta beredar oleh anggota polis atas faktor keselamatan.
Semalam, nahas sebuah pesawat ringan Beechcraft Model 390 (Premier 1) terhempas kira-kira pukul 2.48 petang sehingga mengorbankan seramai 10 mangsa.
Antara mangsa yang terlibat adalah Ahli Dewan Undangan Negeri Pelangai, Datuk Seri Johari Harun dan menantu kepada Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Johor Corporation (JCorp), Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim.
Disebabkan kejadian menyayat hati itu, persimpangan Elmina ditutup sehingga menyebabkan kesesakan teruk hampir di semua laluan alternatif, pagi ini. – KOSMO! ONLINE.