JAKARTA – Sebuah klip video tular di media sosial Indonesia memaparkan situasi seorang guru dibuli berpuluh-puluh pelajar sekolah menengah di kawasan parkir sekolah, lapor laman berita Suara.com semalam.
Video itu dimuat naik dalam akaun Instagram @memomedsos, manakala kejadian itu berlaku di Sekolah Menengah Atas Negeri 15 Maluku Tengah, Maluku.
Dalam rakaman tersebut, seorang guru wanita bertudung menjadi mangsa buli pelajar sekolahnya. Dia merupakan timbalan pengetua sekolah bernama Maryam Latissa.
Ketika kejadian, Maryam memakai topi keledar dan hendak pulang dengan menaiki motosikalnya, namun kuncinya diambil oleh salah seorang pelajar yang berkumpul.
“Tidak boleh pulang,” jerit pelajar berkali-kali sambil ketawa.
Maryam dibuli ketika kumpulan pelajar itu mengadakan demonstrasi mengenai peraturan sekolah yang dianggap tidak memihak kepada mereka.
Kejadian itu mendapat perhatian netizen di ruangan komen.
“Demonstrasi mengenai dasar apa? Kenapa sampai bertindak sedemikian terhadap guru. Jadi guru zaman sekarang memang banyak cabaran,” komen seorang netizen. – Agensi