SEBAIK sahaja melangkah masuk ke kediaman kondominium berkeluasan 950 kaki persegi itu, pasti tetamu akan terpegun dengan perubahan suasana yang dialami mereka.
Manakan tidak, unit kondominium di Legasi Kampung Bharu, Kuala Lumpur itu dihiasi dengan hiasan dalaman klasik moden sekali gus memberikan rasa seperti berada di rumah kampung.
Bagi pemilik nama Mohammad Azmir Abu Bakar, 44, konsep yang diinspirasikan daripada vila miliknya di Langkawi, Kedah itu dibawa ke Kuala Lumpur bagi mewujudkan suasana desa di tengah-tengah kota.
“Minat saya terhadap sejarah Melayu, barang-barang berunsur klasik dan tradisional telah mendorong saya untuk memilih konsep ini.
“Kesemua barangan hiasan dalaman dibeli dan dikumpul dari serata Malaysia,” katanya yang menjadikan rumah tersebut sebagai homestay kepada K2.
Di ruang makan, usahawan industri minyak dan gas itu memadankan kepingan pintu rumah Melaka lama dengan dinding yang disimenkan dan dicat warna jernih bagi menaikkan efek berkilat.
Sungguh menarik pada bahagian bertentangannya apabila kepingan panel-panel kayu dipasang dan dihiasi dengan talam pelbagai saiz yang digantung seperti bingkai gambar.
Lebih unik, sarang burung kayu lama juga digunakan sebagai hiasan lampu untuk dipadankan dengan set meja makan kayu.
“Talam-talam ini saya beli dari Negeri Sembilan kerana ia menaikkan nostalgia saya bersama nenek di kampung.
“Sangkar burung kayu lama pula dari pemilik burung di Batang Kali, Selangor.
“Untuk menaikkan lagi seri ruang ini, saya menggunakan elemen pencahayaan pada bahagian atas dinding,” jelasnya.
Di bahagian ruang tamu, bapa kepada tiga orang anak itu menggunakan batu cladding di sudut televisyen, manakala bahagian bertentangannya pula hanya dinding yang disimenkan.
Pada dua-dua bahagian ini diletakkan lukisan yang diinspirasikan daripada suasana di Langkawi.
Lukisan-lukisan tersebut memberikan ilusi kepada tetamu seakan-akan mereka melihat ke luar jendela dan melihat suasana di kampung sebenar.
“Elemen ruang tamu haruslah senada dengan ruang makan tadi agar ‘mood’ sama terus hidup sepanjang berada di dua ruang ini.
“Sofa yang saya gunakan juga nampak klasik, meskipun ia sebenarnya sofa baharu,” katanya.
Secara keseluruhan, kondominium tersebut memiliki tiga bilik dan dua bilik air yang memiliki dekorasi senada di pelbagai sudut.
Bonus buat tetamu rumah tersebut, mereka boleh menikmati pandangan menara berkembar Kuala Lumpur City Centre (KLCC) di balkoni yang turut dilengkapi dengan kerusi dan meja nuansa kayu.
Secara keseluruhan, pengubahsuaian daripada rumah kosong sehingga siap sepenuhnya itu memakan kos sekitar RM40,000 hingga RM50,000.
Menurut Mohammad Azmir, peringkat paling sukar sepanjang proses pengubahsuaian yang memakan masa berbulan-bulan itu adalah ketika mencari barangan dan perabot klasik untuk dekorasi.