SEPANG – Allahyarham Heikal Aras Abdul Azim, 45, tidak pernah terlepas untuk memohon doa daripada ibunya setiap kali sebelum penerbangan.
Ibu arwah, Noorhizan Mohd. Salleh, 68, ketika ditemui berkata, setiap kali sebelum berlepas, arwah akan datang berjumpa dengannya untuk meminta restu.
“Heikal tidak pernah lupa minta didoakan setiap kali dia ada tugasan (penerbangan),” katanya ketika ditemui di rumahnya di Desa Pinggiran Putra, di sini hari ini.
Katanya, dia memaklumkan arwah baru sahaja pulang kira-kira dua minggu lalu selepas menjalani kursus penerbangan selama tiga bulan di Amerika Syarikat.
“Arwah seorang anak yang baik dan sentiasa positif dalam segala hal dan pemergiannya sangat dirasai keluarga.
“Arwah ni kalau ada masalah seberat mana pun, dia akan hadapi dengan tenang. Dia kata itu hanya masalah dunia dan sebaliknya meminta saya menjaga kesihatan diri.
“Antara lima anak, arwah paling penyabar dan sangat bertanggungjawab selain seorang yang sopan-santun serta peramah,” katanya.
Katanya, jenazah Heikal dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Presint 20, Putrajaya esok selepas selesai urusan padanan ujian sampel asid deoksiribonukleik (DNA). – KOSMO! ONLINE