PETALING JAYA – Seorang pengguna meluahkan kekesalannya kerana tidak dapat menyelamatkan seorang mangsa nahas pesawat di Elmina Central Park, Seksyen U16, petang semalam.
Menurut hantaran tular di laman Tiktok, pengguna yang dikenali sebagai Affy Ndy mengakui berada di tempat kejadian sewaktu nahas tersebut berlaku.
“Saya nampak kapal terhempas depan mata saya. Saya sempat turun dari lori dan terdengar arwah menjerit minta tolong.
“Saya ambil pemadam api yang ada dalam lori dan berlari pergi dekat arwah. Pada waktu itu, arwah masih lagi bergerak,” katanya.
Bagaimanapun, pengguna tersebut meluahkan kekesalannya kerana tidak dapat menyelamatkan mangsa kerana keadaan sekeliling yang tidak selamat.
“Saya cuba tembak pemadam api pada arwah. Tetapi tidak cukup untuk memadamkan api tersebut. Maafkan saya, saya sudah cuba selamatkan rider tersebut,” katanya dalam hantaran sama.
Kini, hantaran tersebut telah menerima 42,700 tanda suka dan 1,355 komen.
Meninjau ke ruangan komen, ramai yang meluahkan rasa simpati terhadap mangsa dan juga pemandu lori tersebut.
“Awak dah buat apa yang terdaya. Terima kasih kerana sudi membantu abang rider tersebut,” kata Tyra.
“Semoga ia menjadi asbab untuk Allah tarik awak ke syurga nanti. Awak dah berusaha tetapi Allah lebih sayangkan arwah,” kata Shafa.
“Akak harap semangat awak pulih dik. Kalau perlu, jumpa kaunseling, sebab awak dah trauma saksikan benda ini depan mata. Moga yang baik-baik sahaja untuk awak sekeluarga,” kata seorang pengguna. – KOSMO! ONLINE