SEREMBAN – Dua rakan dijatuhkan hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini bagi kesalahan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 768.9 gram, di sebuah restoran makanan segera, di Nilai hampir lima tahun lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Zarif Mohd Noor Ajala, 46, dan Mohd Najmi Abd Rahim, 36, selepas perbicaraan penuh dijalankan dan didapati bersalah.
Dalam penghakimannya itu, beliau menyatakan seperti yang diputuskan sebelum ini, kedua-duanya didapati bersalah atas pertuduhan mengedar dadah dan hari ini adalah untuk penangguhan tarikh lepas bagi mendapat maklum pindaan kepada hukuman gantung.
“Di sebalik apa yang berlaku pada awal berdua, terdapat perkara yang patut awak bersyukur pindaan kepada gantung telah diluluskan.
“Sebelum ini ramai didapati bersalah atas kesalahan ini (mengedar dadah) digantung sampai mati. Ini semua bergantung kepada kepercayaan kita. Mana-mana agama, anutan semua, kalau kita tak ditakdirkan mati di tali gantung sememangnya begitulah takdir,” kata Azman.
Malah, beliau turut menegaskan rayuan yang bakal difailkan nanti hanya hukuman sebatan sahaja ditangguhkan sehingga rayuan selesai, namun hukuman penjara berjalan dari tarikh kedua-dua tertuduh ditangkap.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta yang sama dan dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE