MENGENANGKAN kisah yang berlaku hampir 11 tahun lalu membuatkan Akim (bukan nama sebenar) kini insaf dan tidak akan sesekali terlibat lagi dalam penyalahgunaan dadah.
Kerana najis dadah juga dia terpaksa meringkuk di dalam penjara selama tiga tahun sepanjang perbicaraan kesnya di mahkamah.
“Saya rasa dunia saya bagaikan akan berakhir setelah didakwa mengedar dadah jenis ganja dengan berat hampir setengah kilogram walaupun sebenarnya ia bukanlah milik saya.
“Saya didakwa di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB) iaitu jika disabitkan kesalahan saya akan dihukum mati mandatori di tali gantung,” jelasnya yang kini telah berusia pertengahan 30-an kepada Panorama.
Akim bagaimanapun mengakui dia memang seorang penagih ganja sejak belasan tahun lagi akibat pengaruh rakan sebaya, namun tidak pernah mengedar.
Penghijrahannya ke ibu kota untuk bekerja telah mengubah perjalanan hidupnya.
Pada mulanya dia tinggal di kediaman yang disediakan oleh majikannya tetapi rakan sekerjanya mengajaknya untuk tinggal bersamanya dengan menyewa sebuah rumah.
“Saya akhirnya bersetuju untuk tinggal bersamanya. Dia juga merupakan seorang penagih dadah. Pada mulanya saya ingat dia tinggal berseorangan. Tetapi apabila berpindah masuk ada dua lagi individu yang turut menyewa di rumah sama dan mereka adalah warga Indonesia,” jelasnya.
Tambah Akim, rakan sekerjanya memberitahu bahawa mereka berdua mengedar dadah di sekitar kawasan tempat tinggal mereka.
Walaupun mengetahui kegiatan rakan serumah itu, Akim tidak kisah dan dia masih mengambil keputusan untuk tinggal bersama mereka.
Namun tidak lama selepas itu, rumah yang menjadi tempat tinggal mereka itu diserbu pihak berkuasa sehingga membawa kepada penemuan dadah jenis ganja.
Ketika serbuan Akim dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerjanya.
“Pada waktu itu saya melihat ramai di hadapan rumah. Setibanya di rumah baru saya mengetahui bahawa pihak berkuasa telah melakukan serbuan dan menjumpai ganja di dalam rumah,” jelasnya.
Kata Akim, memandangkan dia juga penghuni rumah tersebut dia turut ditahan untuk siasatan. Ganja itu bukan miliknya sebaliknya kepunyaan dua rakan serumahnya.
Ketika ditahan untuk siasatan, ahli keluarganya mengetahui nasib yang menimpanya.
Ahli keluarganya sanggup datang dari kampung halaman di Pulau Pinang semata-mata untuk melihatnya.
Menyaksikan tangisan ibunya ketika dia dibawa berjumpa dengan keluarga timbul penyesalan di hati Akim. Walaupun ganja itu bukan miliknya, tetapi hasil ujian air kencing mendapati dia turut positif dadah.
Akim mengaku kepada keluarganya bahawa dia hanya mengambil ganja untuk diri sendiri dan bukannya mengedar.
“Ibu saya pengsan setelah dakwaan dibacakan. Saya merasakan masa depan diri sudah hancur dan mungkin akan dihukum mati mandatori jika disabitkan dengan kesalahan.
“Alhamdulillah ayah saya seorang yang positif. Walaupun dalam keadaan sedemikian, dia mengupah peguam untuk membela saya,” katanya.
Tambahnya, pada waktu itu dia menangis dan memohon maaf kepada keluarganya kerana terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
Disebabkan didakwa di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB), Akim tidak boleh diikat jamin.
Sepanjang proses perbicaraan Akim ditahan di sebuah penjara di Lembah Klang.
“Sewaktu di dalam penjara, saya melakukan muhasabah diri dan kembali mengenal Tuhan. Saya juga telah khatam al-Quran beberapa kali ketika di dalam penjara. Pada waktu itu saya mengangap ia adalah ujian Tuhan yang perlu saya terima,” jelasnya.
Namun, ketika awal-awal ditahan di penjara, Akim terlalu takut dan berasa putus harapan untuk berdepan kenyataan itu. Akim mengakui dia hampir ingin membunuh diri kerana tidak boleh menerima nasib yang menimpa dirinya.
Namun ada dalam kalangan penghuni penjara yang memberikan semangat untuknya tabahkan hati menerima ujian tersebut dan lama-kelamaan Akim boleh menerima hakikat itu.
Setelah lebih tiga tahun turun naik mahkamah, akhirnya Akim dibebaskan setelah pihak pendakwaan tidak mempunyai bukti yang mencukupi untuk disabitkan.
Akim bersyukur kerana dibebaskan daripada tuduhan itu meskipun di hati kecilnya tetap rasa bersalah kepada keluarganya. Tindakan keluarganya yang terpaksa menjual tanah dan menggadaikan barang kemas bagi membayar kos guamannya begitu mengesankan jiwanya.