PETALING JAYA – Salah seorang mangsa yang terkorban dalam nahas pesawat ringan di Elmina semalam, Allahyarham Muhamad Hafiz Muhamad Salleh, dikategorikan sebagai ‘rider’ (penunggang) terbaik Foodpanda.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Foodpanda menerusi perkongsian dalam satu hantaran di Facebook, sebentar tadi.
Foodpanda turut menzahirkan ucapan takziah buat seluruh keluarga mangsa yang berasal dari Sidam, Kedah.
“Dukacita dimaklumkan bahawa rider kita Allahyarham Muhamad Hafiz Muhamad Salleh telah terlibat dalam tragedi kapal terbang terhempas di Elmina semalam.
“Salam takziah dari kami Foodpanda kepada keluarga Allahyarham. Al Fatihah,” tulisnya.
Muhamad Hafiz yang juga anak sulung daripada lima beradik itu adalah pekerja p-hailing yang kebetulan lalu di lokasi kejadian dan menjadi antara 10 mangsa yang maut dalam nahas tersebut.
Berita pemergian Allahyarham Muhamad Hafiz juga mencuri perhatian orang ramai ekoran kejadian yang tidak disangka-sangka terjadi kepadanya ketika sedang keluar mencari rezeki.
Menurut saksi kejadian, Allahyarham sempat menyebut ‘Allahuakbar’ sebelum menghembuskan nafas terakhir.
Pesawat tersebut sepatutnya dijadualkan mendarat pukul 2.40 petang bagaimanapun dipercayai melencong sebelum hilang kawalan dan terhempas.
Sehingga kini, kesemua mangsa telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk dituntut waris masing-masing. – KOSMO! ONLINE